10 Sekolah Persendirian Cina, Kolej, Terima Sumbangan RM1.5 Juta

Hasni Mohammad menyampaikan replika cek bernilai RM300 ribu sumbangan menerusi Yayasan Sultanah Fatimah kepada wakil dari Sekolah Menengah Persendirian Foon Yew, di Pejabat Menteri Besar Johor, di sini semalam. – Foto Muhammad Razif Razali/ MEDKOM

KOTA ISKANDAR, 10 Ogos: Yayasan Sultanah Fatimah menyalurkan sumbangan sebanyak RM1.5 juta kepada 10 buah sekolah persendirian Cina di negeri ini dan sebuah kolej swasta, Southern University College (SUC), semalam.

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad kepada Pengerusi Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), Tan Tai Kim serta wakil-wakil sekolah dan wakil SUC di Pejabat Menteri Besar Johor, di sini.

SLUG: SUMBANGAN SEKOLAHHasni Mohammad menyampaikan replika cek bernilai RM500 ribu sumbangan menerusi Yayasan Sultanah Fatimah kepada wakil dari Kolej Universiti Selatan, di Pejabat Menteri Besar Johor, di sini semalam. – Foto Muhammad Razif Razali/ MEDKOM

Daripada jumlah RM1.5 juta itu, sebanyak RM500,000 diberikan kepada SUC, manakala setiap sekolah menerima peruntukan RM100,000.

Sekolah-sekolah yang menerima sumbangan berkenaan termasuk tiga buah Sekolah Menengah (SM) Foon Yew, iaitu di Johor Bahru, Kulai dan Seri Alam, Sekolah Cina Chong Hwa Kluang, SM Cina Batu Pahat, SM Pei Chun, SM Chung Hwa, SM SBR Chung Hwa, SM Yong Peng dan SM Pei Hwa.

Yang turut hadir, Penasihat Khas Kepada YAB Menteri Besar Johor (Hal Ehwal Masyarakat Kaum Cina), Datuk Tee Siew Kiong.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan SM Foon Yew, Tay Chin Hein berkata, sumbangan itu amat membantu, khususnya sebagai dana menguruskan sekolah berkenaan.

”Seperti sedia maklum, pandemik COVID-19 turut menjejaskan kewangan sekolah yang bergantung sepenuhnya terhadap dana persendirian untuk menguruskan sekolah.

”Dengan adanya sumbangan ini, ia sedikit sebanyak meringankan beban kewangan untuk menguruskan sekolah,” katanya.

Sementara itu, Tai Kim yang juga Pengerusi Dong Zong Johor merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Johor kerana memberikan bantuan kepada sekolah-sekolah dan kolej, terutamanya semasa pandemik COVID-19 ini.

”Saya berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Johor kerana mendengar permasalahan yang dihadapi oleh sekolah persendirian Cina di negeri ini dan sudi menghulurkan sumbangan.

”Sumbangan yang disalurkan ini adalah tepat pada masanya, sesungguhnya sumbangan ini banyak meringankan beban kewangan institusi pendidikan persendirian yang tidak berpaksikan keuntungan ini,” katanya. – Makmur Johor.

This post was published by makmurjohor.com


Leave a Reply

Your email address will not be published.Required fields are marked *