RM44.4 Juta Bantu Kontraktor Johor Selenggara, Bina Jalan – MBJ

Hasni Mohammad membuat cabutan undi secara maya untuk kerja kerja penyelenggaraan jalan PBT di seluruh negeri Johor (JCCD) di Bangunan Jaafar Muhammad, Kota Iskandar di sini hari ini. – Foto Muhammad Aidil Hussain/ MEDKOM

KOTA ISKANDAR, 9 Ogos: Kerajaan Negeri Johor menerusi anak syarikatnya, Johor Centre for Construction Development (JCCD) memperuntukkan sebanyak RM44.4 juta bagi program Kongsi Kerja untuk memberi peluang lebih baik kepada kontraktor Johor terlibat dalam kerja-kerja penyelenggaraan dan pembinaan jalan di negeri ini.

Menteri Besar, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad berkata, peruntukan itu melibatkan sebanyak 396 pakej kerja penyelenggaraan jalan di seluruh negeri ini kepada kontraktor Johor yang berdaftar di bawah JCCD dan akan dilaksanakan secara undian.

Hasni Mohammad melakukan proses undian secara maya untuk kerja kerja penyelenggaraan jalan PBT di seluruh negeri Johor (JCCD) di Bangunan Jaafar Muhammad, Kota Iskandar di sini hari ini. – Foto Muhammad Aidil Hussain

Menurutnya, program itu dibahagikan kepada empat fasa, dengan fasa pertama akan dilaksanakan di daerah Johor Bahru, manakala seterusnya di beberapa daerah lain.

“Dalam program ini, Kerajaan Negeri Johor menerusi JCCD telah mewujudkan inisiatif Skim Kerja Harian (SKH) secara ‘one-time’ bagi individu yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

“Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan ekoran pandemik COVID-19, ramai yang hilang pekerjaan atau diberhentikan kerja oleh pihak majikan.

“Justeru, inisiatif ini bakal menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Johor yang terkesan menjadi tenaga kerja mahir dan bukan mahir,” katanya selepas menyempurnakan Cabutan Undi Secara Maya Bagi Kerja Penyelenggaraan Jalan di seluruh negeri Johor, di sini hari ini.

Hasni Mohammad menunjukkan nombor yang telah di ambil ketika membuat cabutan undi secara maya untuk kerja kerja penyelenggaraan jalan PBT di seluruh negeri Johor (JCCD) di Bangunan Jaafar Muhammad, Kota Iskandar di sini hari ini. – Foto Muhammad Aidil Hussain/ MEDKOM

YAB Menteri Besar berkata, Kerajaan Negeri Johor sentiasa komited dalam memastikan industri pembinaan di negeri ini akan terus memberi peluang serta pendedahan kepada rakyat tempatan sebagai tenaga kerja yang berkemahiran dan tidak hanya menggunakan tenaga buruh dari negara jiran.

“Program ini bakal menyediakan peluang pekerjaan dan memberikan impak yang positif terhadap golongan kontraktor Johor, khususnya kontraktor G1 dan G2, pembekal serta penduduk sekitar serta dapat membangunkan semula ekonomi negeri.

“Selain itu, Kerajaan Negeri Johor juga akan terus memastikan lebih ramai kontraktor di negeri ini berada pada tahap kompetensi yang tinggi daripada segi kelayakan teknikal, pengurusan kewangan, pengalaman kerja dan lain-lain kriteria supaya industri pembinaan dapat melahirkan kontraktor yang berwibawa dalam pelbagai bidang,” katanya.

Yang turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, YB Dato’ Haji Azmi Rohani; Pegawai Kewangan Negeri, YB Dato’ Haji Salehuddin Hassan; Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan), YB Dato’ Haji Mohd. Noh Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif JCCD, Haji Mohd. Ekmaluddin Ishak. – Makmur Johor.

This post was published by makmurjohor.com


Leave a Reply

Your email address will not be published.Required fields are marked *