JVIP Bantu Cepatkan Pelan Pemulihan Ekonomi, Tingkatkan Vaksinasi Johor – MBJ

Hasni Mohammad melihat petugas perubatan menjalankan proses suntikan vaksin semasa meninjau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Hospital KPJ Abdul Samad, di sini hari ini. – Foto Muhammad Razif Razali/ MEDKOM

JOHOR BAHRU, 6 Ogos: Kerajaan Negeri Johor terus berusaha meningkatkan kadar vaksinasi di negeri ini menerusi program pemberian vaksin berbayar, Johor Vaksin – Immunisation Programme (JVIP).

Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad berkata, JVIP merupakan inisiatif kerajaan negeri dalam menyokong Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang dijayakan oleh Kerajaan Persekutuan.

Menerusi program tersebut juga, katanya, ia diharap dapat menyumbang kepada usaha mempercepatkan pemulihan ekonomi negeri ini.

“Tujuan utama JVIP adalah untuk mempercepatkan perjalanan proses imuniti kelompok dengan meningkatkan pengambilan vaksin COVID-19 terutama dalam kalangan pekerja industri.

“Program ini akan diterajui oleh Perbadanan J-Biotech mewakili Kerajaan Negeri Johor selain kerjasama daripada Pharmaniaga sebagai pembekal, manakala KPJ Healthcare Bhd sebagai penyedia pusat dan khidmat vaksinasi ,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas meninjau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Hospital Pakar KPJ Johor, di sini hari ini.

Penerima vaksin sedang menunggu giliran menerima suntikan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Hospital KPJ Abdul Samad – Foto Muhammad Razif Razali/ MEDKOM

Yang turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, YB Dato’ Haji Azmi Rohani; Pegawai Kewangan Negeri Johor, YB Dato’ Haji Sallehuddin Hassan; Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dato’ Dr. Aman Rabu; Ketua Pegawai Eksekutif J-Biotech, Ahmad Ma’in dan Ketua Eksekutif  Wilayah KPJ, Tuan Haji Asmadi Bakri.

YAB Menteri Besar berkata, sebanyak 20,000 dos telah diperuntukkan untuk JVIP setakat ini dengan bayaran RM350 bagi dua dos lengkap.

“KPJ mempunyai tujuh buah hospital dan kesemua hospital ini akan menjayakan program ini. Perbincangan akan diadakan bersama-sama syarikat mengenai keperluan vaksin untuk mereka dan kita akan sediakan mengikut keperluan itu.

“Kerajaan Negeri turut bercadang memperbanyakkan vaksin menerusi pembelian pelbagai jenama vaksin seperti Sinopharm dan CanSino untuk menjayakan lagi program ini,” jelasnya.

Sementara itu, YAB Menteri Besar berkata, Kerajaan Negeri Johor kini sedang menunggu kelulusan sepenuhnya secara bertulis daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung kebenaran pekerja Malaysia di Singapura yang sudah mendapat vaksin lengkap pulang tanpa perlu dikuarantin.

Katanya, pekerja Malaysia di Singapura yang mahu pulang ke negara ini hanya perlu menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari. – Makmur Johor.

This post was published by makmurjohor.com


Leave a Reply

Your email address will not be published.Required fields are marked *