YSIJ, Singapura Sumbang 100,000 RTK-AG

Hasni Mohammad menunjukkan RTK ANTIGEN yang diperolehi daripada negara Singapura di Bangunan Jaafar Muhammad, Kota Iskandar di sini hari ini.

KOTA ISKANDAR, 5 Ogos: Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) dengan kerjasama Kerajaan Singapura, hari ini menyumbangkan sebanyak 100,000 Panbio COVID-19 Antigen Rapid Test Kit (RTK-AG) kepada Kerajaan Negeri Johor.

Sumbangan diserahkan oleh Konsul Jeneral Singapura di Johor Bahru, Jeevan Singh kepada YAB Menteri Besar Johor, Dato’ Haji Hasni Mohammad yang juga Pengerusi Kehormat YSIJ dengan diiringi Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Dato’ Haji Mohd. Noh Ibrahim, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YSIJ,  Dato’ Avinderjit Singh dan Ketua Pegawai Eksekutif YSIJ, Fadly Suffian Laili.

YAB Menteri Besar, berkata, sumbangan itu adalah hasil darpada hubungan erat yang terjalin antara Singapura dan negeri Johor sejak sekian lama.

“Hubungan ini kita terjemahkan dalam bentuk bantuan dan sokongan yang berterusan khususnya dalam kita menguruskan hal berkaitan pendemik COVID-19 ini.

“Hari ini kita menerima lagi sumbangan kit ujian di mana awal dahulu kita terima sebanyak 20,000 dan kini kita terima 100,000 lagi kit ujian.

“Sumbangan ini amat membantu Kerajaan Negeri untuk meningkatkan lagi pemantauan dan juga program-program pengurusan COVID-19,” katanya.

Hasni Mohammad menerima sumbangan RTK ANTIGEN daripada kerajaan Singapura yang di sampaikan oleh Konsul General Singapura, Tuan Yang Terutama (TYT) Jeevan Singh di Bangunan Jaafar Muhammad, Kota Iskandar di sini hari ini.

Sementara itu, Jeevan Singh berkata, Kerajaan Singapura sentiasa berbesar hati untuk membantu Malaysia khususnya negeri Johor dalam menangani pandemik Covid-19.

“Kami berharap dengan sumbangan ini, ia dapat menambah baik fasiliti kesihatan di Malaysia salam keadaan mencabar ini agar kita semua dapat menjalani kehidupan yang lebih baik” katanya.

Jun lalu, Jabatan Kesihatan Negeri Johor turut menerima 20,000 Panbio COVID-19 Antigen Rapid Test Kit (RTK-AG) daripada Yayasan Temasik dari Singapura.

Antigen RTK ini dapat mengesan virus COVID-19 dalam masa 15 hingga 20 minit berbanding dengan ujian Polimerase Chain Reaction (PCR) yang memakan masa 48 hingga 72 jam.

This post was published by makmurjohor.com


Leave a Reply

Your email address will not be published.Required fields are marked *