Johor Immuplan Ditambah Baik Dari Semasa Ke Semasa – MBJ

Hasni Mohammad beramah mesra bersama petugas semasa lawatan Program Vaksinasi ImmuPlan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Persada Johor International Convention Centre Johor Bahru, semalam. – Foto Muhammad Aidil Hussain/ MEDKOM

JOHOR BAHRU, 30 Julai: Program vaksinasi di bawah inisiatif kerajaan Negeri Johor, iaitu Johor ImmuPlan yang memberi tumpuan khusus kepada barisan hadapan ekonomi di negeri ini akan ditambah baik dari semasa ke semasa.

YAB Menteri Besar, Dato’ Haji Hasni Mohammad berkata, penambahbaikan tersebut dilakukan bagi memastikan lebih ramai individu menerima vaksin di bawah program berkenaan tanpa mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

“Penambahbaikan yang akan dilakukan termasuklah dengan menyediakan lebih banyak bekalan vaksin di bawah program ini,” katanya semasa mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Persada, di sini semalam.

Keadaan kawasan penerima vaksin yang berdaftar melalui Program Johor ImmuPlan di Pusat Pemberian Vaksinasi (PPV) Persada Johor International Convention Centre Johor Bahru, semalam. – Foto Muhamamd Aidil Hussain/ MEDKOM

Hasni Mohammad meninjau keadaan semasa Program Vaksinasi ImmuPlan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Persada Johor International Convention Centre Johor Bahru, semalam. – Foto Muhammad Aidil Hussain/ MEDKOM

Dalam lawatan ringkas itu, YAB Menteri Besar turut berkesempatan beramah mesra dengan penerima vaksin yang mula berdaftar di bawah program berkenaan sejak mula dibuka pada 29 April lalu.

Yang turut hadir dalam lawatan itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, YB Tuan Vidyananthan a/l Ramanadhan; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor (Pengurusan), YB Dato’ Haji Mohd. Noh Ibrahim; Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dato’ Dr. Aman Rabu dan Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Johor, Mohd Tarmizi Dan.

Johor ImmuPlan diperkenalkan bertujuan membantu barisan hadapan ekonomi Johor termasuk pekerja Malaysia dengan permit kerja sah di Singapura selain memiliki surat tawaran kerja atau surat majikan di Singapura.

Proses vaksinasi bagi individu yang layak akan dijadualkan secara harian mengikut tarikh pendaftaran mereka, iaitu pendaftaran awal akan mendapat tarikh janji temu terlebih dahulu. – Makmur Johor

This post was published by makmurjohor.com


Leave a Reply

Your email address will not be published.Required fields are marked *