Terima Kasih Kerajaan Johor

Hasni Mohammad bertanya khabar pelakon veteran, Abdul Rasip Yahya, semasa hadir untuk menyampaikan cek Bantuan Insentif One-Off RM500 yang diberikan menerusi PRE Ihsan Johor 3.0 di Larkin Jaya, Johor Bahru, semalam – Foto Muhammad Aidil Hussain/ MEDKOM

JOHOR BAHRU, 26 Julai: Penggiat seni di negeri ini bersyukur dan amat menghargai bantuan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri kepada mereka yang terjejas akibat pandemik COVID-19 ketika ini.

Sebanyak RM500,000 dana disediakan
Dalam Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor 3.0, iaitu RM1,000 diberikan kepada setiap 11 Badan Gabungan yang berdaftar di
bawah Majlis Kebudayaan Negeri Johor, RM1,000 kepada 10 buah Majlis Kebudayaan Daerah dan RM500 kepada 958 orang penggiat seni di negeri ini.

Antara yang menerima sumbangan ialah penyanyi wanita veteran, Zaleha Hamid, 63, atau nama sebenarnya Siti Zaleha Abdul Hamid.

Beliau yang terlantar akibat diserang strok, kini dijaga oleh suaminya, Ungku Sulaiman Ungku Aziz.

Ungku Sulaiman mengucapkan jutaan terima kasih kepada Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad datang menyampaikan bantuan ini terus kepada isterinya.

“Sejak isteri (Zaleha) mengalami sakit strok sejak tahun 2019, saya menjaganya sepenuh masa. Saya tidak bekerja dan mengharap bantuan secara bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan anak kami.

“Kami sangat bersyukur dengan bantuan tunai dan barangan makanan yang diterima, ia meringkan beban kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Projek Perumahan Rakyat Uda Utama, Taman Uda Utama, di sini semalam.

Seorang lagi artis veteran, Abd. Rashid Yahaya, 88, yang popular dikenali Mat Sentol, turut memuji langkah kerajaan negeri dalam memberi bantuan kepada penggiat seni di negeri ini termasuk mereka yang sudah tidak aktif lagi dalam bidang berkenaan.

“Terima kasih kepada YAB Menteri Besar Johor dan Kerajaan Negeri yang tidak lupakan golongan seperti kami.Teruskanlah membantu,” katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi penerima bantuan RM500 PRE Ihsan Johor 3.0, pengiat seni wushu negeri Johor, Lee Swee Seng, 34, turut menyatakan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Johor atas bantuan yang disalurkan.

”Sejak pandemik COVID-19 melanda pada tahun lalu, saya telah hilang punca pendapatan akibat terpaksa menutup teater seni wusyu yang telah diusahakan,” katanya.

Hasni Mohammad beramah mesra bersama Othman Jupri antara penggiat seni yang terkesan bagi menerima bantuan One-Off sebanyak RM500 PRE Ihsan Johor 3.0, di Kampung Kempas Johor Bahru, semalam – Foto Muhammad Aidil Hussain/MEDKOM

Haji Othman Jupri, 72, penggiat seni silat dan teater pulak mengakui amat gembira dengan kesudian YAB Menteri Besar memberi sumbangan kepada penggiat seni.

Katanya, akibat pandemik COVID-19, beliau tiada pendapatan kerana tidak boleh mengajar silat dan teater dan kini hanya bergantung dengan wang yang dikirim oleh dua anaknya yang bekerja di Singapura.

“Memang rindu dengan mereka. Demi mencari rezeki, sudah dua tahun mereka tidak boleh balik. Sejak COVID-19 melanda ini golongan seperti kami amat terkesan,” katanya dalam nada sebak.

Hasni Mohammad menyampaikan cek Bantuan Insentif One-Off RM500 menerusi PRE Ihsan Johor 3.0 kepada penggiat seni tari klasik, Usha Rani Kartikayan, di Taman Nesa Skudai, Johor Bahru semalam – Foto Muhammad Aidil Hussain/ MEDKOM

Sementara itu, pengajar tarian tradisional masyarakat India, Usha Rani a/p Kartikayan, 30 , berkata, hampir dua tahun beliau tiada pendapatan kerana pandemik COVID-19.

“Pendapatan memang terjejas. Kelas tidak dapat dibuka, sewa premis perlu dibayar. Masa tempoh dibenarkan beroperasi sekejap ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dahulu pun ibu bapa tidak berani hendak hantar anak-anak mereka kerana bimbang dijangkiti.

“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana sudi membantu penggiat seni seperti kami,” katanya. – Makmur Johor

This post was published by makmurjohor.com


Leave a Reply

Your email address will not be published.Required fields are marked *