Kerajaan Negeri Tidak Lupa Jasa Penggiat Seni Johor

Hasni Mohammad bertanya khabar penyanyi era 80-an, Siti Zaleha Abdul Hamid, semasa hadir untuk menyampaikan cek Bantuan Insentif One-Off RM500 yang diberikan menerusi PRE Ihsan Johor 3.0 di Taman Uda Utama, Johor Bahru, semalam – Foto Muhamamd Razif Razali/ MEDKOM

JOHOR BAHRU, 26 Julai: Kerajaan Negeri Johor tidak melupakan jasa penggiat seni apabila menyampaikan bantuan RM500 menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor 3.0, di sini semalam.

Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad berkata, bantuan tersebut bertujuan menghargai jasa dan pengorbanan penggiat seni di negeri ini yang kini turut terkesan akibat pandemik COVID-19.

“Biarpun nilai bantuan yang diberikan tidak banyak, namun saya berharap bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban penggiat seni yang pendapatan mereka terjejas sepanjang pandemik ini.

”Kerajaan Negeri Johor sentiasa bersedia memberi sokongan dan bantuan sekiranya golongan ini memerlukan bantuan dalam berdepan ketidaktentuan ekonomi akibat pandemik COVID-19 ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyerahkan bantuan tersebut kepada empat penerima yang terdiri daripada penggiat seni di negeri ini.

Hasni Mohammad menyampaikan cek Bantuan Insentif One-Off RM500 menerusi PRE Ihsan Johor 3.0 kepada pengiat seni wushu negeri Johor, Lee Swee Seng, 34, di Taman Nesa Skudai, Johor Bahru semalam – Foto Muhammad Razif Razali/ MEDKOM

Antara penerima PRE Ihsan Johor 3.0 tersebut ialah penggiat seni silat dan teater, Haji Othman Jupri; penyanyi era 80-an, Siti Zaleha Abdul Hamid; penggiat seni tari klasik, Usha Rani Kartikayan; atlet wushu, Lee Swee Seng dan pelakon veteran, Abdul Rasip Yahya atau dikenali sebagai Mat Sentol.

Yang turut hadir pada penyerahan bantuan tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Negeri Johor, YB Tuan Haji Mazlan Bujang dan Pegawai Daerah Johor Bahru, Tuan Haji Abdul Rahman Salleh.

Pada bulan lalu YAB Menteri Besar telah mengumumkan seramai 958 penggiat seni menerima bantuan RM500 secara ‘one-off’ menerusi PRE Ihsan Johor 3.0.

PRE Ihsan Johor 3.0 menerusi sektor masyarakat dan modal insan turut menyalurkan bantuan kepada 11 badan gabungan yang berdaftar di bawah Majlis Kebudayaan Negeri Johor dan 10 Majlis Kebudayaan Daerah. – Makmur Johor

This post was published by makmurjohor.com


Leave a Reply

Your email address will not be published.Required fields are marked *