RM5 Juta Bantu Mangsa Ribut Di Sedili

Hasni Mohammad bertanya khabar dan menyampaikan sumbangan kepada keluarga mangsa ribut ketika mengadakan lawatan ke pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan Seri Setia, Tanjung Sedili, di sini, hari ini – Foto Muhammad Razif Razali/ MEDKOM

KOTA TINGGI, 24 Julai: Kerajaan Negeri akan memperuntukkan RM5 juta bagi membantu mangsa kejadian ribut di Sedili.

Menteri Besar, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad berkata, sebagai permulaan setiap keluarga menerima bantuan wang tunai RM1,000 daripada Kerajaan Negeri dan RM400 daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor serta bakul makanan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Beliau berkata, peruntukan itu juga meliputi bantuan membaiki rumah sebanyak RM5,000 hingga RM15,000 untuk setiap keluarga berdasarkan kerosakan kediaman mereka.

“Sebanyak RM4.5 juta hingga RM5 juta akan disediakan oleh Kerajaan Negeri untuk membantu mereka yang terjejas dengan bencana ribut yang berlaku semalam.

“Selain bantuan ini, kita tahu dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara ini, kita akan ambil masa panjang untuk baiki rumah terjejas. Jadi, kita akan kenal pasti tempat sementara bagi mereka yang memerlukan seperti rumah inap sementara tunggu rumah mereka dibaiki,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat  mangsa-mangsa ribut di pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Setia Jaya, Tanjung Sedili, di sini hari ini.

Hasni Mohammad menyampaikan sumbangan kepada keluarga mangsa ribut ketika mengadakan lawatan ke pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan Seri Setia Jaya, Tanjung Sedili, di sini, hari ini – Foto Muhammad Razif Razali/MEDKOM

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang semalam, hujan lebat berserta ribut dan angin kencang mengakibatkan 291 rumah dan beberapa bangunan kerajaan rosak.

Sebanyak tujuh kampung terjejas dalam kejadian ribut semalam, antaranya Kampung Teluk Jeri Luar, Kampung Teluk Jeri Dalam, Tanah Putih dan Kampung Sri Gading.

Turut terjejas ialah Klinik Kesihatan Sedili Besar, kuarters polis serta kuarters klinik kesihatan dan beberapa sekolah.

Hadir sama dalam lawatan itu ialah Pegawai Daerah Kota Tinggi, Hazlina Jalil; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, YB Rasman Ithnain dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) YB Datuk Seri Che Zakaria Mohd Salleh yang juga ADUN Permas. – Makmur Johor

This post was published by makmurjohor.com


Leave a Reply

Your email address will not be published.Required fields are marked *