Penduduk Panik Kejadian Pertama Landa Tanjung Sedili

Abu Bakat Mohamed, 74 menunjukkan keadaan rumah yang mengalami kerosakan teruk akibat dilanda ribut petang semalam – Foto Muhammad Razif Razali/MEDKOM

KOTA TINGGI, 24 Julai: Umpama tsunami kecil.

Itulah gambaran yang diberikan salah seorang penduduk di Kampung Jeri Luar, Sedili mengenai kejadian ribut yang berlaku petang semalam.

Hasni Mohammad menyantuni Shahidah Ab Razak, 54, ketika melawat kawasan yang dilanda ribut di Kampung Luar Jeri Sedili, di sini, hari ini – Foto Muhammad Razif Razali/ MEDKOM
Keadaan rumah Shahidah Ab Razak, 54 yang mengalami kerosakan teruk selepas dilanda ribut petang semalam – Foto Muhammad Razif Razali/ MEDKOM

Shahidah Ab. Razak, 54, berkata, ketika kejadian beliau dan cucunya baru selesai makan sebelum bunyi desiran angin yang kuat mengakibatkan bumbung rumahnya terbang dibadai ribut.

“Saya dan cucu hanya mampu duduk berpelukan sambil menangis kerana panik tidak tahu apa yang hendak dilakukan.

“Syukur alhamdulillah, kami selamat. Dengan keadaan saya yang mempunyai sakit jantung, saya tidak mampu bergerak jauh. Suami pula ke jeti bagi melihat bot, takut karam,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Abu Bakar Mohamed, 74, yang tinggal sejak 20 tahun lalu di kampung berkenaan mengaku kejadian itu kali pertama berlaku di kawasan berkenaan.

“Memang mengerikan. Mujur tiada kemalangan jiwa.

“Alhamdulillah, terima kasih saya ucapkan kepada Menteri Besar, Kerajaan Negeri dan semua pihak yang prihatin melawat dan menyampaikan sumbangan kepada kami penduduk yang terlibat,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang semalam, hujan lebat berserta ribut dan angin kencang mengakibatkan 291 rumah dan beberapa bangunan kerajaan rosak.

Sebanyak tujuh kampung terjejas dalam kejadian ribut itu, antaranya Kampung Teluk Jeri Luar, Kampung Teluk Jeri Dalam, Tanah Putih dan Kampung Sri Gading.

Turut terjejas ialah Klinik Kesihatan Sedili Besar, kuarters polis serta kuarters klinik kesihatan dan beberapa sekolah.- Makmur Johor

This post was published by makmurjohor.com


Leave a Reply

Your email address will not be published.Required fields are marked *