Pengusaha Guna Bantuan Selenggara Homestay, Chalet

Hasni Mohammad menyaksikan penyampaian replika cek Bantuan Insentif One-Off kepada Pengusaha Homestay dan Chalet di Negeri Johor berjumlah RM534, 000 kepada 5,34 pengusaha daripada Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Negeri Johor, YB Datuk Onn Hafiz Ghazi kepada Pengarah Tourism Johor, Haji Suhairi Hashim, di Trata’leka Homestay Resort, di sini semalam.

TANGKAK, 18 Julai: Bantuan insentif ‘one-off’ sebanyak RM1,000 kepada pengusaha homestay dan chalet di negeri ini diharap mampu meringankan beban mereka menghadapi cabaran pandemik COVID-19.

Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad berkata, Kerajaan Negeri Johor sedar mengenai impak yang dihadapi oleh sektor pelancongan akibat pandemik itu yang hingga kini belum berakhir.

“Saya berharap bantuan ini sedikit sebanyak dapat membantu pengusaha homestay dan chalet untuk meneruskan perniagaan mereka,” katanya.

Terdahulu, YAB Menteri Besar menyaksikan penyerahan replika cek Bantuan Insentif One-Off kepada Pengusaha Homestay dan Chalet di Negeri Johor berjumlah RM534, 000 kepada 5,34 pengusaha menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor 3.0.

Replika cek berkenaan disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Negeri Johor, YB Datuk Onn Hafiz Ghazi kepada Pengarah Tourism Johor, Haji Suhairi Hashim.

Hasni Mohammad mendengar taklimat ringkas dari Pengarah Tourism Johor, Haji Suhairi Hashim semasa berkunjung ke Trata’leka Homestay Resort bagi menyampaikan Bantuan Insentif One-Off kepada Pengusaha Homestay dan Chalet di Negeri Johor, di sini semalam.

Dalam pada itu, pemilik Trata’leka Homestay Resort, Safiah Isa mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Johor, khususnya YAB Menteri Besar atas sumbangan yang disalurkan.

“Homestay ini mengalami pengurangan pengunjung sebanyak 90 peratus sejak tahun lalu. Pengurangan itu menyebabkan masalah kewangan untuk membayar kos penyelenggaran dan sebagainya.

“Alhamdulillah, bantuan sebanyak RM1,000 yang disalurkan ini amat diperlukan untuk menampung perbelanjaan operasi homestay, khususnya kos penyelenggaraan,” katanya. – Makmur Johor

This post was published by makmurjohor.com


Leave a Reply

Your email address will not be published.Required fields are marked *