Kerajaan Johor Pastikan Semua Golongan Terjejas Dibantu

Hasni Mohammad menyerahkan keperluan asas dari Gobok Rakyat Johor kepada Southern Volunteer di Komplek Penghulu Parit Jawa, Muar.

MUAR, 18 Julai: Kerajaan Negeri Johor akan terus memastikan golongan yang terkesan akibat pandemik COVID-19 dibantu menerusi pelbagai inisiatif dalam pakej rangsangan ekonomi yang diperkenalkan.

Menteri Besar, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad berkata, usaha-usaha itu akan diteruskan bagi memastikan tiada golongan yang tercicir daripada mendapat pembelaan kerajaan.

“Tidak ada yang terjejas dikecualikan (menerima bantuan). Sesiapa yang layak, kerajaan atas kemampuan yang ada akan bantu sebanyak mungkin selama yang boleh menerusi pakej rangsangan ekonomi ini,” katanya selepas melawat Gobok Rakyat Johor di Kompleks Penghulu Parit Jawa, di sini semalam.

Gobok Rakyat Johor merupakan salah satu inisiatif yang diumumkan oleh YAB Menteri Besar dalam Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor 3.0, baru-baru ini.

Dengan peruntukan sebanyak RM8 juta, inisiatif tersebut dijangka dapat memberi manfaat kepada lebih 100,000 rakyat yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Inisiatif berkenaan diselaraskan oleh semua Pejabat Daerah dan menyasarkan kepada golongan asnaf, fakir, B40 dan M40 atau yang terputus bekalan makanan dan barangan keperluan.

YAB Menteri Besar berkata, Kerajaan Negeri akan bergerak seiring dengan Kerajaan Persekutuan bagi mencapai matlamat Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam menguruskan pandemik serta ekonomi.

“Dalam PPN juga sudah ditetapkan kaedah-kaedah kita menguruskan ekonomi dan juga hal-hal berkaitan dengan pendemik COVID-19 ini.

“Jadi, usaha ini akan bergerak seiring kerana soal kesihatan dan ekonomi, dua-dua itu penting. Berkenaan pandemik seperti pengurusan pemberian vaksin berjalan lancer, manakala dalam soal ekonomi, pakej rangsangan dilaksanakan dengan cara yang berterusan,” katanya. – Makmur Johor

This post was published by makmurjohor.com


Leave a Reply

Your email address will not be published.Required fields are marked *