1,882 Pengusaha Van, Bas Sekolah Terima Bantuan

Hasni Mohammad menyerahkan replika cek kepada Pupathia A/L Ramadas yang menerima bantuan “one off” sebanyak RM500 menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan 3.0 di Taman Sri Temenggong, Muar semalam.

MUAR, 18 Julai: Pengusaha van dan bas sekolah yang terjejas akibat pandemik COVID-19 terus mendapat perhatian Kerajaan Negeri Johor apabila menerima bantuan ‘one off’ sebanyak RM500 menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor 3.0.

Seramai 1,882 pengusaha perkhidmatan pengangkutan berkenaan di negeri ini akan menerima bantuan tersebut.

Seorang pengusaha bas sekolah, Muhammad Aminnur Rashid Mokhtar mengakui bantuan itu sedikit sebanyak dapat meringankan bebannya yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.

Menurutnya, sejak sekolah ditutup akibat pandemik berkenaan, beliau hanya dapat membawa para pekerja kilang di kawasan sekitar sebagai sumber pendapatan.

“Pendapatan memang jauh berkurangan berbanding sebelum pandemik. Pada masa ini saya bawa pekerja kilang dan berharap tidak lama lagi keadaan boleh pulih untuk kami meneruskan kehidupan seperti sediakala.

“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri Johor atas sumbangan yang diberikan kepada pemandu-pemandu bas sekolah,” katanya selepas menerima bantuan berkenaan yang disampaikan YAB Menteri Besar, Dato’ Haji Hasni Mohammad, di sini semalam.

Muhammad Aminnur Rashid Mokhtar salah seorang yang menerima bantuan “one off” sebanyak RM500 menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan 3.0 di Kampung Jeram, Bakri Muar semalam.

Hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor,YB Tuan Haji Mohd. Solihan Badri dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ), Ramli Abdul Rahman.

Bagi pengusaha van sekolah, Pupathia A/L Ramadas, sejak penutupan sekolah akibat pandemik COVID-19, beliau hilang pendapatan.

Beliau mengakui turut menerima bantuan serupa menerusi Bantuan Ihsan Johor pada awal pandemik yang lalu.

“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri Johor atas bantuan ini. Sekurang-kurangnya bantuan ini dapat meringankan beban kami sekeluarga,” katanya. – Makmur Johor

This post was published by makmurjohor.com


Leave a Reply

Your email address will not be published.Required fields are marked *