Penambahan Ujian Covid-19 RTK Antigen Tingkat Kadar Saringan

Hasni Mohammad menyerahkan kit ujian antigen covid-19 kepada Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dato’ Dr. Aman Rabu di Pejabat Menteri Besar Johor, Kota Iskandar, di sini hari ini. – Foto Muhammad Razif Razali/ MEDKOM

KOTA ISKANDAR, 13  Julai: Pembelian Kit Ujian Rapid Antigen (RTK-Ag)  dan RTK menggunakan sampel air liur diharap mampu meningkatkan kadar saringan dalam kalangan rakyat negeri ini.

Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad berkata, pembelian ujian COVID-19 ini juga dapat membantu Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) melakukan lebih banyak ujian dari semasa ke semasa.

“Pembelian kit ujian ini merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Johor di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor 3.0 yang diumumkan bulan lalu.

“Harapan saya, masyarakat bukan hanya mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) dan penjarakan sosial, malah dapat melakukan ujian saringan secara kendiri pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas penyampaian kit ujian RTK Antigen kepada JKNJ di Pejabat Menteri Besar, di sini hari ini.

Hasni Mohammad bersama Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, YB Tuan Vidyananthan a/l Ramanadhan dan Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dato’ Dr. Aman Rabu melihat kit ujian antigen covid19 di Pejabat Menteri Besar Johor, Kota Iskandar, di sini hari ini. – Foto Muhammad Razif Razali/ MEDKOM

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, YB Tuan Vidyananthan a/l Ramanadhan dan Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dato’ Dr. Aman Rabu.

YAB Menteri Besar berkata, hari ini Kerajaan Negeri Johor telah menerima pesanan bekalan dua jenis ujian COVID-19, iaitu ujian RTK Ag sebanyak 130,000 manakala 50,000 lagi merupakan ujian RTK menggunakan sampel air liur.

“Pesanan ini merupakan 200,000 kit ujian yang telah diumumkan Kerajaan Negeri Johor menerusi PRE Ihsan COVID-19 3.0 yang diumumkan bulan lalu.

”Ini adalah merupakan bekalan yang menjadi sebahagian daripada inisiatif kerajaan negeri untuk meningkatkan lagi pengurusan atau memperkukuhkan pengurusan pandemik COVID-19 di negeri ini,” katanya. – Makmur Johor.

This post was published by makmurjohor.com


Leave a Reply

Your email address will not be published.Required fields are marked *