Gobok Rakyat Johor Inisiatif Baik Bantu Masyarakat

Petugas sedang membantu penerima mengambil keperluan asas menerusi program Gobok Rakyat Johor di Pejabat Penghulu Mukim Jelutong, Gelang Patah, Johor Bahru, Johor

JOHOR BAHRU, 11 Julai: Penduduk di kawasan Gelang Patah, di sini menyifatkan program Gobok Rakyat Johor sebagai satu inisiatif yang baik dalam membantu orang ramai yang terputus bekalan makanan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Salah seorang penerima, Kamarudin Jumaat, 37, mengakui inisiatif itu membantu individu sepertinya yang menghadapi masalah kewangan sepanjang tempoh PKP dilaksanakan.

“Saya bekerja sebagai pemandu teksi di kawasan Gelang Patah. Sejak pandemik COVID-19 melanda, pelanggan berkurangan dan telah menjejaskan pendapatan saya yang bekerja seorang untuk menyara keluarga.

“Dengan adanya program sebegini, saya yakin ia dapat membantu golongan yang memerlukan seperti saya. Tidak secara menyeluruh tetapi ia tetap membantu kami.

“Saya amat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Johor, khususnya YAB Menteri Besar Johor, Dato’ Haji Hasni Mohammad,” katanya.

Kamarudin Jumaat, 37, ditemubual selepas menerima makanan dan keperluan menerusi program Gobok Rakyat Johor di Pejabat Penghulu Mukim Jelutong, Gelang Patah, Johor Bahru, Johor.

Terdahulu, YAB Menteri Besar meninjau pelaksanaan program Gobok Rakyat Johor di bawah  Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor 3.0 yang dilaksanakan di Pejabat Penghulu Mukim Jelutong, Gelang Patah hari ini.

Program tersebut membolehkan orang ramai mengambil makanan atau barangan keperluan asas yang disediakan di pusat-pusat Gobok Rakyat Johor mengikut daerah masing-masing.

Seorang lagi penerima, Muhammad Mustakim Sadeli, 30, turut mengakui pandemik COVID-19 memberi kesan kepada seluruh rakyat khususnya golongan yang berpendapatan rendah.

“Ramai yang terjejas sepanjang tempoh PKP ini.

Muhammad Mustakim Sadeli, 30, ditemubual selepas menerima makanan dan keperluan menerusi program Gobok Rakyat Johor di Pejabat Penghulu Mukim Jelutong, Gelang Patah, Johor Bahru, Johor.

“Program Gobok Rakyat Johor merupakan inisiatif yang sangat baik dan wajar diteruskan pada masa akan datang sehingga keadaan ekonomi pulih kembali,” katanya. – Makmur Johor

This post was published by makmurjohor.com


Leave a Reply

Your email address will not be published.Required fields are marked *