Peserta E-Kasih Zahir Penghargaan Kepada MBJ

Hasni Mohammad bertanya khabar Zainal Mohamad Darwish, 58 , semasa menyampaikan wang tunai sebanyak RM500 yang diberikan menerusi PRE Ihsan Johor 3.0 di Kampung Bakar Batu, di sini semalam. – Foto Muhammad Razif Razali/MEDKOM

JOHOR BAHRU, 10 Julai: Beberapa peserta e-Kasih menzahirkan rasa penghargaan atas kesudian YAB Menteri Besar Johor menyampaikan sendiri sumbangan sebanyak RM500 menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor 3.0 kepada mereka semalam.

Seorang penerima, Zainal Mohamad Darwish, 58, mengakui tidak menyangka YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad sanggup berkunjung ke rumahnya di Kampung Bakar Batu, di sini untuk menyampaikan bantuan tersebut.

”Saya tidak menyangka YAB Menteri Besar sudi berkunjung ke rumah saya dan menyampaikan sendiri bantuan ini. Saya rasa sangat gembira dan bantuan ini sememangnya membawa makna besar kepada saya dan keluarga.

“Sejak saya kehilangan pekerjaan akibat kaki yang terpaksa dipotong sejak tahun 2019, kami kehilangan punca pendapatan. Kami sekeluarga hanya bergantung dengan bantuan kewangan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat
(JKM) yang disalurkan secara bulanan,” katanya ketika ditemui di sini.

Terdahulu, YAB Menteri Besar bertemu dengan enam keluarga penerima di daerah ini untuk menyampaikan wang tunai sebanyak RM500 yang diberikan menerusi PRE Ihsan Johor 3.0 dan sumbangan barangan keperluan asas.

Hasni Mohammad menyampaikan wang tunai sebanyak RM500 yang diberikan menerusi PRE Ihsan Johor 3.0 kepada Tee Ah Ee, 70, di Permas Jaya, di sini semalam. – Foto Muhammad Razif Razali/ MEDKOM

Sementara itu, Tee Ah Ee, 70, turut menyifatkan bantuan yang diberikan Kerajaan Negeri Johor itu amat bermakna baginya dalam mendepani pandemik
COVID-19.

”Saya tinggal seorang di rumah, faktor usia dan keadaan kita kini yang sedang menjalani tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyukarkan saya untuk keluar dari rumah untuk membeli barangan keperluan,” katanya.

Dalam pertemuan ringkas itu, Ah Ee turut berkongsi komen rakannya dengan YAB Menteri Besar selepas dia memberitahu bahawa pemimpin itu akan berkunjung ke rumahnya untuk menyampaikan bantuan.

‘Johoreans are very lucky’ demikian komen yang diberikan rakan Ah Ee.

Hasni Mohammad menyampaikan wang tunai sebanyak RM500 yang diberikan menerusi PRE Ihsan Johor 3.0 kepada Seatha Letchumy A/P S Kupusamy, 54, di Permas Jaya, di sini semalam. – Foto Muhammad Razif Razali/ MEDKOM

Dalam pada itu, anak kepada penerima bantuan PRE Ihsan 3.0, Rajkumaaran a/l Muruga, 23, berkata, bantuan itu melegakan keluarganya disebabkan ibunya yang bekerja sebagai pembantu restoran diberhentikan kerja akibat PKP.

“Ayah merupakan orang kurang upaya (OKU) dan saya merupakan seorang pelajar. Sebelum ini, kami bergantung hidup dengan pendapatan ibu sebagai pembantu restoran, namun PKP ini dia tidak dapat bekerja.

”Justeru, dengan adanya bantuan daripada Kerajaan Negeri Johor, ia sedikit sebanyak membantu kami sekeluarga menjalani tempoh yang sukar ini,” katanya.

This post was published by makmurjohor.com


Leave a Reply

Your email address will not be published.Required fields are marked *