Pertubuhan Kebajikan Makmur Johor Sumbang RM100,000 Kepada Palestin

Hasni Mohammad (tengah) menyaksikan penyerahan cek replika RM100, 000 oleh Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Makmur Johor, Mohd. Hairi Md. Shah kepada Setiausaha Akhbar kepada Menteri Luar Negeri, Mohd. Hafiz Ariffin di Kota Iskandar sini hari ini. – Foto Muhammad Razif Razali/ MEDKOM

KOTA ISKANDAR, 5 Julai: Menteri Besar Johor, Dato’ Haji Hasni Mohammad menyaksikan penyerahan sumbangan RM100,000 daripada Pertubuhan Kebajikan Makmur Johor kepada Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin, di sini hari ini.

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Makmur Johor, Mohd. Hairi Md. Shah kepada Setiausaha Akhbar kepada Menteri Luar Negeri, Mohd. Hafiz Ariffin.

Mohd. Hairi berkata, Pertubuhan Kebajikan Makmur Johor yang merupakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terpanggil untuk menghulurkan bantuan kepada rakyat di Palestin selepas menerima berita mengenai penderitaan mereka akibat peperangan dengan Israel.

“Pertubuhan Kebajikan Makmur Johor menjadi antara NGO di negeri ini yang menghulurkan bantuan kepada rakyat Palestin. Kita mengambil masa kira-kira sebulan untuk mengumpul sumbangan daripada orang ramai.

“Alhamdulillah, hari ini kita berjaya mengumpul sebanyak RM100,000 dan kita berharap sumbangan ini dapat meringankan beban saudara kita di sana,” katanya ketika ditemui selepas penyerahan ringkas sumbangan itu.

Dalam pada itu, Mohd. Hafiz berkata, Kementerian Luar Negeri selaku penyelaras akan menyalurkan bantuan khususnya untuk pembelian barangan kesihatan dan keperluan kepada penduduk Palestin.

“Saya berbesar hati dengan sumbangan ini dan kita akan berusaha menyalurkan bantuan untuk saudara-saudara kita di Palestin. Pada masa yang sama, saya berharap lebih ramai NGO di negeri ini tampil menghulurkan bantuan,” katanya. – Makmur Johor

This post was published by makmurjohor.com


Leave a Reply

Your email address will not be published.Required fields are marked *