Kerjasama JCCD-MRT Corp Beri Manfaat Kepada Kontraktor Tempatan

Foto Muhammad Razif Razali/ MEDKOM

KOTA ISKANDAR, 2 Disember: Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Johor Centre For Construction Development (JCCD) dengan anak syarikat milik penuh Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp), iaitu Malaysia Rapid Transit System Sdn. Bhd., (MRTS) bakal memberi manfaat kepada kontraktor tempatan.

Menteri Besar Johor, YAB Datuk Haji Hasni Mohammad berkata, perancangan strategik JCCD selaku anak syarikat milik penuh Kerajaan Negeri Johor bakal memastikan kontraktor tempatan dapat mengambil peluang dan diberi pendedahan untuk terlibat sama dalam projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura.

“Menerusi jalinan usaha sama ini, kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam membangunkan kepakaran termasuk pemindahan ilmu dan teknologi kepada kontraktor tempatan dalam projek RTS Link Johor Bahru-Singapura.

“Sebanyak 40 peratus daripada nilai keseluruhan pembinaan infrastruktur awam dianggarkan bernilai RM800 juta akan diperuntukkan kepada kontraktor tempatan di negeri Johor yang berkelayakan terdiri daripada gred G1 sehingga G6,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Pembinaan RTS Link Johor Bahru-Singapura fasa pertama dijangka bermula pada Januari 2021, manakala kerja-kerja infrastruktur awam bagi projek tersebut dijangka siap pada akhir 2024 dengan pembukaan penuh dijadualkan pada akhir 2026.

“RTS Link Johor Bahru-Singapura ini mempunyai jajaran sepanjang 4 kilometer (km) dengan 2.7 km berada di Malaysia, manakala 1.3 km di Singapura. Jajarannya ini merangkumi bahagian bertingkat yang akan dibina di Malaysia, manakala bahagian bertingkat dan bawah tanah dibina di Singapura.

“Nilai keseluruhan projek ini dianggarkan berjumlah RM3.7 bilion dan daripada nilai itu, RM2 bilion merupakan kos pembinaan infrastruktur awam,” katanya. – Makmur Johor

This post was published by makmurjohor.com


Leave a Reply

Your email address will not be published.Required fields are marked *