YSIJ Sumbang 20,000 Kit Ujian RTK Covid-19 Kepada JKNK

Hasni Mohammad menyerahkan kit ujian COVID-19, Iaitu Panbio COVID-19 Antigen Rapid Test Kit (RTK-AG) kepada Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dato’ Dr. Aman Rabu di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) JKNJ Johor, di sini hari ini. – Foto Muhammad Razif Razali/ MEDKOM

JOHOR BAHRU, 11 Jun: Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) dengan kerjasama Yayasan Temasek menyumbang sebanyak 20,000 kit ujian COVID-19, Iaitu Panbio COVID-19 Antigen Rapid Test Kit (RTK-AG) kepada Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) hari ini.

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad kepada Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dato’ Dr. Aman Rabu di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) JKNJ Johor di sini.

Hasni Mohammad bergambar bersama kit ujian COVID-19, Iaitu Panbio COVID-19 Antigen Rapid Test Kit (RTK-AG) selepas menyerahkan kepada Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dato’ Dr. Aman Rabu di CPRC JKNJ Johor, di sini hari ini. Turut hadir Konsul Jeneral Singapura, Tuan Yang Terutama (TYT) Jeevan Singh dan Ahli Pemegang Amanah YSIJ, Avinderjit Singh Harjit Singh. – Foto Muhammad Razif Razali/ MEDKOM

YAB Menteri Besar yang juga Pengerusi Kehormat YSIJ berkata, sumbangan itu selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk membantu JKNJ dalam usaha menjalankan ujian di lapangan secara bersasar.

Menurutnya, ujian lapangan secara bersasar itu merupakan pendekatan yang amat sesuai untuk negeri Johor.

“Pada masa yang sama saya juga yakin menerusi sumbangan ini dapat memperkukuhkan lagi usaha Kerajaan Negeri untuk memperkenalkan ujian COVID-19 secara kendiri,” katanya.

Yang turut hadir, Konsul Jeneral Singapura, Tuan Yang Terutama (TYT) Jeevan Singh dan Ahli Pemegang Amanah YSIJ,  Avinderjit Singh Harjit Singh.

Kit ujian COVID-19, Iaitu Panbio COVID-19 Antigen Rapid Test Kit (RTK-AG). – Foto Muhammad Razif Razali/ MEDKOM

YAB Menteri Besar menambah, Kerajaan Negeri menyanjung tinggi usaha yang dilakukan oleh YSIJ, khususnya dalam aspek kebajikan dan bantuan yang telah disalurkan kepada negeri ini bagi mendepani pandemik COVID-19.

“YSIJ dilihat lebih agresif dalam menyampaikan bantuan kepada masyarakat yang terkesan. Ia termasuklah daripada segi aspek kesihatan.

“Sumbangan YSIJ yang dilihat sangat membantu khususnya dalam aspek kesihatan, seperti bantuan alat bantuan pernafasan, pelitup muka, pakaian pelindung diri (PPE) dan cecair pembasmi kuman kepada JKNJ.

“Usaha yang dilakukan YSIJ juga dilihat tidak terhenti di situ, malah hubungan persefahaman dengan negara jiran Singapura dilihat mampu memberi manfaat kepada rakyat di negeri ini,” katanya. – Makmur Johor

This post was published by makmurjohor.com


Leave a Reply

Your email address will not be published.Required fields are marked *