RM75 Juta Laksana Empat Inisiatif

KOTA ISKANDAR, 10 Jun: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM75 juta bagi melaksanakan empat inisiatif Pemerkasaan Pengurusan Pandemik Negeri Johor yang diumumkan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor 3.0.

Menteri Besar, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad berkata, sektor ekonomi tidak akan dapat dimajukan dan sektor sosial tidak mampu disejahterakan jika gagal mengawal pandemik COVID-19 secepat mungkin.

Menurutnya, pembukaan semula sempadan Singapura-Malaysia dan keberkesanan penuh Tujuh Ikhtiar Makmur Johor juga bergantung terhadap kejayaan usaha mengurangkan kadar kes jangkitan setiap hari.

“Menyedari hakikat ini, maka Kerajaan Negeri akan memperuntukkan RM75 juta untuk tujuan melaksanakan empat inisiatif.

“Bagi menyokong usaha ujian saringan bersasar, Kerajaan Negeri akan membeli COVID Test Kit RTK Antigen sebanyak 190,000 unit. Inisiatif ini akan dilaksanakan secara bersama-sama oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Bahagian Khidmat Pengurusan (SUK BKP) dan Jabatan Kesihatan Negeri Johor.

“Tiga pihak berkuasa tempatan (PBT) bertaraf bandar raya, iaitu Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dan Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) akan turut membeli COVID Test Kit RTK Antigen dan inisiatif ini bakal memanfaatkan hampir 60,000 orang,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor 3.0, secara langsung menerusi platform media sosial Facebook beliau, DatukHasniMohammad dan Makmur Johor, di sini hari ini.

YAB Menteri Besar berkata, menerusi inisiatif ketiga, Kerajaan Negeri akan terus membiayai perbelanjaan operasi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), sekatan jalan raya (SJR) dan membiayai kebajikan petugas barisan hadapan atau frontliners.

“Inisiatif ini akan diselaraskan oleh Setiausaha Bahagian Khidmat Pengurusan (SUK BKP) dan semua pejabat daerah yang merangkumi elaun, penyediaan makanan dan kelengkapan berkaitan yang melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM20 juta dan akan terus dilaksanakan hingga Disember 2021,” katanya.

Menerusi inisiatif keempat, Kerajaan Negeri juga bercadang untuk membeli vaksin COVID-19 bagi membolehkan rakyatnya mendapatkan bekalan vaksin.

“Kerajaan Negeri akan bekerjasama dengan Kumpulan Perubatan Johor (KPJ). Inisiatif ini akan membolehkan pihak KPJ menjual vaksin kepada mereka yang memerlukan.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sebanyak RM40 juta bagi tujuan ini,” katanya. -Makmur Johor

This post was published by makmurjohor.com


Leave a Reply

Your email address will not be published.Required fields are marked *