Pengusaha Kantin, Pemandu Van Dan Bas Sekolah Terima Bantuan RM500

KOTA ISKANDAR, 10 Jun: Pengusaha kantin sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan serta pemandu van dan bas sekolah di negeri ini merupakan antara golongan yang menerima manfaat menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor 3.0 yang diumumkan hari ini.

Menteri Besar Johor, Dato’ Haji Hasni Mohammad berkata, bantuan itu diletakkan di bawah sektor Masyarakat dan Modal Insan merangkumi pelbagai pemberian sekali beri (one-off) yang melibatkan 16 inisiatif dengan peruntukan keseluruhan RM126.86 juta.

”Pemberian bantuan kepada pengusaha kantin sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan, sebanyak RM500 kepada 1,197 pengusaha. Inisiatif ini akan diselaraskan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Johor.

”Pemberian bantuan one-off sebanyak RM500 akan turut diberikan kepada 2,123 pemandu bas dan van sekolah yang berdaftar. Bantuan ini akan diselaraskan oleh Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ),” katanya.

Beliau berkata demikian semasa mengumumkan PRE Ihsan Johor 3.0 secara langsung menerusi platform media sosial Facebook beliau, DatukHasniMohammad dan Makmur Johor.

YAB Menteri Besar berkata, PRE Ihsan Johor 3.0 turut menyediakan bantuan sebanyak RM500 kepada 22,071 peserta dalam senarai e-Kasih yang akan diselaraskan oleh Pejabat Pembangunan Negeri Johor dan Pejabat Daerah.

”Bantuan secara one-off sebanyak RM500 turut disalurkan kepada imam, bilal dan noja dengan jumlah seramai 5,264 orang selain manfaat diperluaskan kepada 4,202 pemegang lesen premis gunting rambut atau salun di negeri ini yang turut menerima bantuan dengan peruntukan sama. – Makmur Johor

This post was published by makmurjohor.com


Leave a Reply

Your email address will not be published.Required fields are marked *