Golongan Hilang Perkerjaan Terima Bantuan RM500

KOTA ISKANDAR, 10 Jun: Kerajaan Negeri menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor 3.0 akan menyalurkan bantuan sebanyak RM500 kepada golongan yang hilang pekerjaan atau pendapatan akibat pandemik COVID-19.

Menteri Besar, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad berkata, bantuan secara sekali beri (one-off) itu dijangka bakal memanfaatkan seramai 10,000 pekerja yang terkesan.

”Inisiatif ini akan diselaraskan oleh Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Johor (BPENJ) dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Negeri Johor.

”Menerusi PRE Ihsan Johor 3.0, penyaluran baucar barangan bernilai RM200 kepada 300,000 penerima yang dikategorikan dalam keluarga B40 akan dilaksanakan dengan kerjasama MyKasih Foundation,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa mengumumkan PRE Ihsan Johor 3.0 secara langsung menerusi platform media sosial Facebook beliau, DatukHasniMohammad dan Makmur Johor, hari ini.

YAB Menteri Besar menambah, Kerajaan Negeri juga akan memperuntukkan sebanyak RM1 juta kepada Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) bagi mengadakan klinik kaunseling, webinar psikologi dan kaunseling serta ujian psikologi secara dalam talian.

”PRE Ihsan Johor 3.0 turut meneruskan bantuan Program Bakul Makanan bernilai RM100 kepada 20,000 rakyat yang memerlukan dengan peruntukan RM2 juta. Program ini akan diselaraskan oleh Yayasan Sultan Ibrahim (YSI).

”Selain itu, sebanyak RM8 juta diperuntukkan untuk Program Gerobok Makanan yang akan memberi manfaat kepada hampir 100,000 rakyat yang terkesan. Inisiatif ini akan diselaraskan oleh semua Pejabat Daerah dengan agensi dan jabatan di setiap daerah dijadikan sebagai pusat penyaluran dan pembahagian bantuan ini,” katanya. – Makmur Johor

This post was published by makmurjohor.com


Leave a Reply

Your email address will not be published.Required fields are marked *