Dana RM11.24 Juta Untuk PKS, Pelancongan

KOTA ISKANDAR, 10 Jun: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM11.24 juta bagi sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan sektor pelancongan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor 3.0.

Menteri Besar, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM9.5 akan disalurkan bagi sektor PKS dan RM1.74 juta untuk pelancongan.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri akan memberikan bantuan RM500 secara sekali beri kepada 19,090 pengusaha IKS mikro yang berdaftar dengan PBT seperti penyewa premis milik PBT, peniaga pasar malam, pasar pagi, pasar tani dan penjaja.

“Untuk tujuan ini, peruntukan berjumlah RM9.5 juta disediakan dan akan diselaraskan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Bahagian Kerajaan Tempatan (SUK KT) dan semua PBT.

“Menerusi inisiatif ini juga, peniaga warung dan gerai makan di luar kawasan PBT turut dibantu melalui permohonan yang disahkan oleh pejabat-pejabat daerah,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor 3.0, secara langsung menerusi platform media sosial Facebook beliau, DatukHasniMohammad dan Makmur Johor, di sini hari ini.

YAB Menteri Besar berkata, bagi sektor pelancongan, sebanyak RM1.74 juta diperuntukkan untuk melaksanakan empat inisiatif.

“Inisiatif itu adalah pemberian bantuan sebanyak RM2,000 kepada 267 pengusaha hotel bajet yang berdaftar, pemberian bantuan RM1,000 kepada 551 pengusaha homestay yang berdaftar, pemberian bantuan sebanyak RM1,000 kepada 60 agensi pelancongan di negeri Johor yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dan pemberian bantuan RM1,000 kepada 600 pemandu pelancong di negeri Johor.

“Kesemua inisiatif dan bantuan sektor pelancongan ini akan diselaraskan oleh Tourism Johor,” katanya. – Makmur Johor

This post was published by makmurjohor.com


Leave a Reply

Your email address will not be published.Required fields are marked *