COVID-19: Kerajaan Johor Adakan Perbincangan Untuk Kepentingan Rakyat

KOTA ISKANDAR, 20 Mei: Kerajaan Negeri akan mengadakan perbincangan dengan semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengenai situasi pandemik COVID-19 di negeri ini demi kebajikan rakyat.

Menteri Besar, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad berkata, perbincangan berhubung perkara itu akan diadakan pada minggu depan dan Kerajaan Negeri memberi jaminan perkara yang dibincangkan akan diangkat kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Patik menjunjung kasih atas keprihatinan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar yang menitahkan supaya semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini mengadakan perbincangan berhubung kebajikan rakyat Johor.

“Perbincangan ini akan lebih memperkukuh dan menambah baik segala usaha yang telah dan akan diambil Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan untuk membendung pandemik COVID-19. 

“Ini termasuklah meningkatkan kapasiti Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) sedia ada dan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di negeri Johor,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

YAB Menteri Besar berkata, meskipun Ordinan Darurat sedang berkuat kuasa, Kerajaan Negeri akan memastikan YB Setiausaha Kerajaan dan YB Penasihat Undang-Undang Negeri Johor untuk melihat kelancaran perbincangan tersebut.

Terdahulu, Sultan Johor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar dalam satu hantaran menerusi laman Facebook rasmi baginda bertitah supaya diadakan satu perbincangan secara permesyuaratan dalam kalangan semua Ahli Parlimen dan ADUN Negeri Johor yang dipengerusikan oleh YAB Menteri Besar.

Perbincangan itu bagi membolehkan semua Ahli Parlimen dan ADUN di negeri ini memberi pandangan dalam membendung penularan wabak COVID-19 di Johor bagi kesejahteraan rakyat. – Makmur Johor

This post was published by makmurjohor.com


Leave a Reply

Your email address will not be published.Required fields are marked *