RM32.5 Juta Bantu Lonjak Taraf Sosioekonomi Rakyat Di Iskandar Malaysia

JOHOR BAHRU, 17 Mei – Sebanyak RM32.5 juta diperuntukkan di bawah inisiatif SECURE@IskandarMalaysia bagi melonjakkan taraf sosioekonomi rakyat di wilayah pembangunan berkenaan.

Inisiatif berkenaan setakat ini sudah berjaya membantu melonjakkan sosioekonomi lebih 2,000 rakyat di Iskandar Malaysia.

Menteri Besar, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad berkata, ketika keadaan yang amat mencabar ini, rakyat bukan sahaja memerlukan bantuan segera, malah sokongan jangka masa panjang yang boleh meningkatkan daya tahan dan lebih berdaya saing dalam menstabilkan atau meningkatkan taraf hidup mereka.

“Saya mahu rakyat negeri Johor lebih bersedia untuk melangkaui cabaran pandemik ini dan saya gembira melihat ini tercapai menerusi program SECURE@IskandarMalaysia,” katanya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), hari ini.

YAB Menteri Besar yang juga Pengerusi Bersama IRDA berkata, SECURE@IskandarMalaysia atau ‘Inisiatif Pemulihan Ekonomi Mampan di Iskandar Malaysia’ telah dilancarkan pada Februari lalu sempena dengan Kempen Peringatan 15 Tahun Iskandar Malaysia.

“Inisiatif ini merupakan gabungan program-program yang bertujuan untuk mengekalkan pemulihan sosioekonomi komuniti dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Iskandar Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Eksekutif IRDA, Datuk Ismail Ibrahim berkata, ketika ini inisiatif SECURE@IskandarMalaysia merangkumi tujuh program yang berlandaskan tiga format, iaitu pemberian geran atau dana, pembangunan kapasiti serta ‘reskilling’ dan ‘upskilling’.

“Pendekatan secara holistik ini membolehkan rakyat mendapat sokongan bukan sahaja daripada segi kewangan, malah aspek kemahiran teknikal dan insaniah.

“Program ‘Iskandar Malaysia Employment Grant’ atau IMEG, contohnya telah mengekal atau memberikan pekerjaan kepada 987 orang di 68 buah syarikat di negeri Johor.

“Seramai 596 orang pula telah terlibat dalam program IM Makmur,” katanya.

Bagi program ‘Iskandar Malaysia Urban Farming’ atau IMURFARM pula, seramai 140 pekebun bandar di lapan komuniti telah dilahirkan dan mendapat manfaat daripada hasil tanaman mereka sama ada untuk kegunaan sendiri ataupun dijual.

“Sementara itu, 110 PKS turut mendapat bantuan geran sewaan sepadan (rental matching grant) untuk membayar sewaan tapak atau ruang perniagaan mereka sehingga RM1,500 sebulan menerusi program IMRENT.

“Di bawah program ‘Youth 2 Biz’ pula, seramai 56 orang telah berjaya mendapat geran untuk memulakan perniagaan menerusi penggunaan lori ataupun perniagaan yang menggunakan fasiliti yang dikongsi bersama,” katanya. – Makmur Johor

This post was published by makmurjohor.com


Leave a Reply

Your email address will not be published.Required fields are marked *