Boleh Daftar Johor Immuplan Mulai Hari Ni

JOHOR BAHRU, 29 April: Pendaftaran sistem Pelan Immuniasi Johor atau Johor ImmuPlan bagi membolehkan rakyat Johor yang perlu berulang-alik ke Singapura atas tujuan ekonomi seperti bekerja mendapat suntikan awal vaksin COVID-19, dibuka hari ini.

Menteri Besar, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad, berkata, permohonan untuk program vaksinasi awal kini dibuka di www.immuplan.my dan keutamaan akan diberikan kepada mereka yang mempunyai bukti pekerjaan atau urusan yang memerlukan perjalanan tetap ke Singapura.

“Kita sedia maklum bahawa Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah bersetuju untuk memperuntukkan tambahan 100,000 vaksin bagi mereka yang berhasrat untuk berulang-alik ke Singapura sekiranya sempadan dibuka.

“Untuk tujuan kita menguruskan mereka yang berhajat bekerja di Singapura ini, satu aplikasi yang kita bangunkan, Johor ImmuPlan ini telah pun kita letakkan dalam talian.

“Mereka sudah boleh mula mendaftar,” katanya dalam sidang media selepas meninjau Program Pemberian Vaksin COVID-19 Fasa II di Dewan Muafakat Taman Adda, di sini hari ini.

Hasni Mohammad meninjau keadaan semasa Program Vaksinasi Fasa ke – 2 di Dewan Muafakat Johor, Adda Heights. – Foto Muhammad Aidil Hussain/ MEDKOM

Hasni Mohammad menunjuk bilangan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) fasa ke – 2 Negeri Johor semasa sidang media selepas lawatannya ke pusat vaksinasi di Dewan Muafakat Johor, Adda Heights. – Foto Muhammad Aidil Hussain/ MEDKOM

YAB Menteri Besar berkata, beberapa kriteria perlu dipatuhi bagi melayakkan individu itu mendapat suntikan awal menerusi Johor ImmuPlan.

“Antara beberapa kriterianya ialah mempunyai permit kerja yang sah, mempunyai surat majikan yang menunjukkan bahawa mereka sememangnya mendapat tawaran bekerja ataupun memang bekerja di Singapura dan begitu juga rakyat Malaysia yang berada di Singapura yang perlu berulang-alik ke Johor Bahru.

“Jadi, kita perlukan dokumen-dokumen untuk melayakkan mereka mendapat suntikan awal,” katanya sambil menasihati orang ramai yang mendaftar menerusi pelan itu untuk memberikan dokumen atau maklumat yang lengkap dan sahih.

Beliau berharap tiada pihak yang menyalahgunakan atau memberi maklumat yang tidak tepat menerusi Johor ImmuPlan berkenaan.

Hasni Mohammad beramah mesra bersama salah seorang penerima vaksin di Dewan Muafakat Johor, Adda Heights. – Foto Muhammad Aidil Hussain/ MEDKOM 

Mengenai Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Johor, YAB Menteri Besar berkata, hampir semua petugas barisan hadapan di negeri ini telah menerima suntikan vaksin COVID-19.

“Alhamdulillah bagi fasa 1, kita pun telah siap, boleh katakan 90 peratus daripada petugas barisan hadapan dan sedikit lagi itu oleh kerana kekangan masa, kesesuaian tempat dan sebagainya itu kita akan teruskan pada fasa 2.

“Jadi, saya kira bagi fasa 1, perjalanan pemberian vaksin itu lancar dan telah mencapai matlamat dengan kesemua yang tersenarai sebagai barisan ‘frontliner’ untuk fasa 1 telah mendapat suntikan seperti yang dirancang,” katanya.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, YB R. Vidyananthan; Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Datuk Dr. Aman Rabu dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), YB Dato’ Haji Mohd. Noh Ibrahim. – Makmur Johor

This post was published by makmurjohor.com


Leave a Reply

Your email address will not be published.Required fields are marked *