IMBRT Mampu Tingkat Penggunaan Pengangkutan Awam

Hasni Mohammad (depan, tengah) bergambar selepas merasmikan Majlis Pelancaran Ujian Rintis Iskandar Malaysia Bas Rapid Transit (IMBRT) di Jen Hotel Iskandar Puteri Harbour. – Foto Mohammad Aidil Hussain/ MEDKOM

ISKANDAR PUTERI, 8 April: Kerajaan Negeri yakin Bas Rapid Transit Iskandar Malaysia (IMBRT) mampu meningkatkan kadar penggunaan pengangkutan awam dalam kalangan masyarakat di wilayah pembangunan ekonomi itu.

Menteri Besar, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad berkata, ini kerana sistem IMBRT mempunyai kelebihan seperti ketepatan jadual perjalanan, keselesaan dan menggunakan teknologi hijau.

“Ini (IMBRT akan menjadikan pengangkutan awam di Johor lebih moden, efektif dan semestinya akan menjadi satu tarikan lagi bagi kawasan di Iskandar Malaysia,” katanya pada Majlis Perasmian Ujian Rintis IMBRT, di sini hari ini.

Hasni Mohammad (tengah) bersama tetamu terhormat melancar aplikasi MyBus bagi gimik pelancaran Ujian Rintis Iskandar Malaysia Bas Rapid Transit (IMBRT) di Jen Hotel Iskandar Puteri Harbour. – Foto Muhammad Aidil Hussain/ MEDKOM

Hasni Mohammad merasai sendiri pengalaman menaiki bas rapid transit (IMBRT) sempena Majlis Pelancaran Ujian Rintis Iskandar Malaysia Bas Rapid Transit (IMBRT) di Jen Hotel Iskandar Puteri Harbour. – Foto Muhammad Aidil Hussain/ MEDKOM

Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) , Ismail Ibrahim ( tiga dari kanan) menunjukkan replika stesen bas kepada Hasni Mohammad (tiga dari kiri) pada Majlis Pelancaran Ujian Rintis Iskandar Malaysia Bus Rapid Transit (IMBRT) di Jen Hotel Iskandar Puteri Harbour. – Foto Muhammad Aidil Hussain/ MEDKOM

Menurutnya, bagi memantapkan lagi jaringan sistem pengangkutan awam di Iskandar Malaysia,  perkhidmatan sedia ada perlu ditambah baik dalam pelbagai aspek bagi menarik minat masyarakat untuk terus menggunakannya.

Antara perkara yang perlu ditelilti ialah ketepatan jadual perjalanan bas sampai ke stesen, keselamatan, jenis pengangkutan dan kadar tambang yang  dikenakan.

“Saya memberi penekanan kepada IMBRT, yang penting kempen kesedaran dan pendedahan kepada masyarakat.

“Sama ada Bas Muafakat ataupun pengangkutan awam yang ada, kita tahu banyak ruang untuk penambahbaikan. Perkara itu dalam pertimbangkan dan perancangan apabila IMBRT dibangunkan,” katanya.

IMBRT akan menyediakan 55 servis feeder dan 44 servis terus dengan jaringan keseluruhan sejauh 2,051 kilometer  (km) atau lebih kurang 90 peratus kawasan populasi Iskandar Malaysia, manakala laluan utama IMBRT untuk tren tanpa rel pula adalah sejauh 54.92 km di kawasan Skudai, Tebrau dan Iskandar Puteri.

Jaringan pengangkutan awam ini merangkumi 33 stesen dengan sebuah hab di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di laluan Skudai, manakala lalu utama mempunyai dua stesen akhir, masing-masing di Desa Jaya (Tebrau) dan Anjung (Iskandar Puteri).

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, YB Dato’  Haji Azmi Rohani; Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor; YB Mohd. Solihan Badri dan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar Malaysia (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim.- Makmur Johor

This post was published by makmurjohor.com


Leave a Reply

Your email address will not be published.Required fields are marked *