RAPP Jadi Pusat Sehenti Penjagaan Warga Emas Di Pengerang

Hasni Mohammad menyaksikan peralatan senaman khusus untuk warga emas yang terdapat Pusat Rakan Aktif Parlimen Pengerang (RAPP) di Bayu Damai, Pengerang semalam. – Foto Muhammad Razif Razali/ MEDKOM

PENGERANG, 6 April: Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad merasmikan Pusat Rakan Aktif Parlimen Pengerang (RAPP) yang merupakan sebuah pusat penjagaan kesihatan dan kecergasan kepada golongan warga emas di kawasan Parlimen Pengerang.

Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad berkata, usaha yang dilakukan oleh Ahli Parlimen Pengerang,  YB Dato’ Sri Azalina Othman Said perlu dijadikan contoh oleh semua Ahli Parlimen di negeri ini.

”Seperti yang sedia maklum, aspek kesihatan merupakan antara faktor yang diberi penekanan apabila kini kita terpaksa berdepan dengan COVID-19. Dengan adanya pusat sebegini, ia memberi peluang kepada warga emas meningkatkan tahap kesihatan mereka.

”Saya yakin dan percaya bahawa usaha ini akan memberi manfaat kepada warga Parlimen Pengerang, terutamanya golongan warga emas. Pusat ini saya harap dapat diperluaskan ke seluruh parlimen tanpa bergantung dengan peruntukan daripada Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Permasian Pusat Rakan Aktif Parlimen Pengerang (RAPP) di Taman Bayu Damai, di sini semalam.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Pengerang, YB Dato’ Sri Azalina Othman Said.

Hasni Mohammad menyaksikan peralatan senaman khusus untuk warga emas yang terdapat Pusat Rakan Aktif Parlimen Pengerang (RAPP) di Bayu Damai, Pengerang semalam. – Foto Muhammad Razif Razali/ MEDKOM
Antara peralatan senaman yang disediakan di Pusat Rakan Aktif Parlimen Pengerang (RAPP) di Bayu Damai, Pengerang semalam. – Foto Muhammad Razif Razali/ MEDKOM

RAPP merupakan sebuah pusat yang dilengkapi dengan peralatan dan fasiliti kesihatan canggih dan berteknologi tinggi yang diimport dari negara Jepun.

Perisiannya (software) di pusat itu juga direka khusus untuk senaman dan penjagaan yang bersesuaian dengan usia dan kemampuan seseorang warga emas.

YAB Menteri Besar menambah, RAPP juga memberi bimbingan kepada warga emas supaya dapat berdikari, sesuai dengan keadaan usia mereka.

”Aspek pengurusan kesihatan khususnya dalam kalangan warga emas perlu ditekankan agar mereka tidak bergantung kepada sesiapa, terutamanya anak-anak.

”Apabila seseorang warga emas itu tahu cara dan kaedah menguruskan usia tuanya, warga emas itu akan jadi lebih berdikari,” katanya. – Makmur Johor

This post was published by makmurjohor.com


Leave a Reply

Your email address will not be published.Required fields are marked *