Pembangunan Terminal Pengerang Lima Dialog Tingkat Pelaburan Ekonomi Johor

Hasni Mohammad meletakkan tangan sebagai gimik pelancaran pembukaan Terminal Pengerang Lima Dialog, Fasa Tiga bagi Terminal Laut Dalam Pengerang di sini, hari ini. – Foto Muhammad Razif Razali/ MEDKOM

Oleh: Nur Wani Nadhirah Mohammad Shofian Shah

PENGERANG, 5 April: Pembukaan Terminal Pengerang Lima Dialog Fasa Tiga bagi Terminal Laut Dalam Pengerang diyakini mampu memberi pulangan pelaburan yang signifikan kepada ekonomi negeri Johor.

Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad berkata, kesinambungan fasa tiga itu mampu menyediakan lebih banyak kompleks petrokimia serta loji pembuatan petrokimia hiliran.

“Pembangunan yang berterusan seperti pembinaan terminal di Pengerang ini mampu mentranformasikan Pengerang menjadi sebuah bandar yang menarik dan lestari.

“Saya meletakkan harapan yang tinggi dan pada masa yang sama Pengerang mampu menjadi hab bagi industri minyak, gas dan petrokimia yang terbesar di Asia Pasifik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Pembinaan Terminal Pengerang Lima Dialog Fasa Tiga bagi Terminal Laut Dalam, di sini hari ini.

Hasni Mohammad berucap semasa perasmian pembukaan Terminal Pengerang Lima Dialog, Fasa Tiga bagi Terminal Laut Dalam Pengerang di sini, hari ini. – Foto Muhammad Razif Razali/ MEDKOM
Hasni Mohammad (tengah) menerima cenderamata daripada Pengerusi Eksekutif Kumpulan Dialog, Tan Sri Dr. Ngau Boon Keat (kanan) selepas perasmian pembukaan Terminal Pengerang Lima Dialog, Fasa Tiga bagi Terminal Laut Dalam Pengerang di sini, hari ini. – Foto Muhammad Razif Razali/ MEDKOM

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, YB Dato’ Haji Azmi Rohani; Pengerusi Eksekutif Dialog Berhad, Tan Sri Dr. Ngau Boon Keat dan Ahli Parlimen Pengerang, YB Dato’ Sri Azalina Othman Said.

Terminal Pengerang Lima Dialog Fasa Tiga bagi Terminal Laut Dalam Pengerang telah disiapkan dan mula menerima kapal pertama pada 19 Mac lalu.

Fasa Tiga itu dilengkapi dengan tiga tangki simpanan produk minyak asli yang berkeluasan 430,000 meter kubik dan fasiliti marin laut dalam.

YAB Menteri Besar berkata, Kerajaan Negeri Johor akan sentiasa memberi sokongan terhadap pembangunan Terminal Laut Dalam Pengerang.

“Sokongan ini bukan untuk kelebihan syarikat korporat dan pihak swasta semata-mata, sebaliknya saya yakin ia juga memberi manfaat kepada semua penduduk di sekitarnya.

“Adalah wajar untuk saya katakan, kejayaan ini merupakan kejayaan negeri Johor dan Malaysia secara amnya,” katanya. – Makmur Johor

This post was published by makmurjohor.com


Leave a Reply

Your email address will not be published.Required fields are marked *