RTM Bantu Sebar Dasar, Berkesan Nafi Berita Palsu

Hasni Mohammad (tengah) memotong reben ketika hadir pada Majlis Perasmian Sambutan Ulangtahun Hari RTM ke-75 Peringkat Negeri Johor di Foyer Auditorium Permata Sari, Kompleks Penerangan dan Penyiaran Sultan Iskandar, Johor Bahru hari ini. – Foto Muhammad Razif Razali/ MEDKOM

Oleh: Nur Wani Nadhirah Mohammad Shofian Shah

JOHOR BAHRU, 1 April: Menteri Besar, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad memuji usaha berterusan Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) membantu menyebarluaskan pelbagai dasar kerajaan kepada rakyat dan pada masa sama menyiarkan penafian berita-berita palsu menerusi semua salurannya.

Beliau mengakui RTM adalah ejen komunikasi strategik yang berupaya memberi kesan, terutamanya menyebarluaskan dasar-dasar kerajaan serta memastikan arus pembangunan dapat diterima dan dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh rakyat.

“Peranan RTM semakin penting apabila menjadi saluran dua hala antara kerajaan dan rakyat. Pihak kerajaan dapat menyebarkan maklumat dan pada masa sama rakyat boleh menyuarakan pendapat dan keperluan mereka menerusi radio dan televisyen.

“Kekuatan RTM pada waktu ini dalam menyiarkan penafian berita-berita palsu menerusi program radio dan televisyen serta poster-poster dalam media sosial sangat berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Sambutan Hari RTM Ke-75 Peringkat Negeri Johor dan melancarkan Rancangan Tonggak baharu JOHORfm, Bangsawan Radio ‘Ratna Ashikin Amirul Dunia’ di Auditorium Permata Sari, RTM Johor, di sini hari ini.

Hasni Mohammad (tengah) meletakkan pengesan jari ketika hadir pada Majlis Perasmian Sambutan Ulangtahun Hari RTM ke-75 Peringkat Negeri Johor di Foyer Auditorium Permata Sari, Kompleks Penerangan dan Penyiaran Sultan Iskandar, Johor Bahru hari ini. – Foto Muhammad Razif Razali/ MEDKOM

Yang turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan negeri, YB Dato’ Haji Azmi Rohani; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Negeri Johor, YB Tuan Haji Mazlan Bujang; Pengarah Jabatan Penyiaran Johor, En. Ramlee Johari dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru, YB Dato’ Haji Adib Azhari Daud.

YAB Menteri Besar berkata, program dan rancangan yang disiarkan di RTM, sama ada menerusi radio mahupun televisyen juga secara tidak langsung telah mengukuhkan perpaduan rakyat berbilang kaum di negeri dan negara ini.

“Inilah yang paling kita diharapkan,” tegasnya.

Menurutnya, sejak diwujudkan pada 1965, JOHORfm diklasifikasikan sebagai perkhidmatan penting yang telah memainkan peranannya dengan berkesan sebagai sebahagian daripada frontliner dalam menyampaikan maklumat sahih kepada rakyat.

“Tanpa kegigihan kakitangan terutamanya di RTM Johor ini, penyebaran maklumat sahih dan penting tidak dapat disalurkan dengan jayanya.

“Dalam mengejar rating, mengaut keuntungan daripada hasil iklan dan populariti, kandungan siaran yang dihasilkan oleh JOHORfm juga bersifat holistik.

“Ia sangat bertepatan dengan usaha kerajaan negeri untuk memupuk semangat Makmur Johor, membentuk nilai murni dan moral yang tinggi dalam masyarakat di negeri ini,” katanya.

Beliau yakin JOHORfm akan terus menjadi ‘jambatan’ antara kerajaan dan rakyat, terutamanya membantu kerajaan menerapkan pemahaman dasar-dasar kerajaan kepada masyarakat. – Makmur Johor

This post was published by makmurjohor.com


Leave a Reply

Your email address will not be published.Required fields are marked *