Johor Akan Terus Sokong Usaha Kerajaan Pusat Bangunkan Negara Dan Negeri – MBJ

Hasni Mohammad berucap ketika hadir pada Majlis Perasmian Sambutan Ulang Tahun Hari RTM ke-75 Peringkat Negeri Johor di Foyer Auditorium Permata Sari, Kompleks Penerangan dan Penyiaran Sultan Iskandar, Johor Bahru hari ini. – Foto Muhammad Razif Razali/ MEDKOM

JOHOR BAHRU, 1 April: Kerajaan negeri akan terus menyokong dan mendokong usaha yang dilakukan kerajaan Persekutuan bagi memastikan segala perancangan dan program pembangunan dapat dilaksanakan mengikut jadual.

Menteri Besar, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad berkata, adalah menjadi tanggungjawab dan hasrat kerajaan negeri untuk menterjemahkan perancangan kerajaan Pusat sebaik mungkin.

“Saya memberi jaminan kepada YAB Perdana Menteri bahawa kita akan memastikan bahawa Johor akan bersama-sama dengan kerajaan Pusat dalam memimpin negeri dan negara ini bagi memastikan segala program dan rancangan dapat dilaksanakan mengikut jadual.

“Maka, pendekatan dan kaedah yang diamalkan kerajaan akan kita teruskan untuk meletakkan kepentingan kerajaan dan rakyat di barisan paling hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan YAB Perdana Menteri yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor yang menyatakan sokongan terhadap kepimpinan beliau di Johor.

YAB Menteri Besar ditemui selepas merasmikan Sambutan Hari RTM Ke-75 Peringkat Negeri Johor dan melancarkan Rancangan Tonggak baharu JOHORfm, Bangsawan Radio ‘Ratna Ashikin Amirul Dunia’ di Auditorium Permata Sari, RTM Johor, di sini hari ini.

Hasni Mohammad (tengah) menunjukkan setem keluaran Pejabat Pos Malaysia Johor ketika hadir pada Majlis Perasmian Sambutan Ulangtahun Hari RTM ke-75 Peringkat Negeri Johor di Foyer Auditorium Permata Sari, Kompleks Penerangan dan Penyiaran Sultan Iskandar, Johor Bahru hari ini. – Foto Muhammad Razif Razali/ MEDKOM

Hasni Mohammad (tengah) menerima bingkisan setem posmen dari Pengarah Penyiaran Negerii Johor ketika hadir pada Majlis Perasmian Sambutan Ulangtahun Hari RTM ke-75 Peringkat Negeri Johor di Foyer Auditorium Permata Sari, Kompleks Penerangan dan Penyiaran Sultan Iskandar, Johor Bahru hari ini. – Foto Muhammad Razif Razali/ MEDKOM

Mengenai pelantikan isu ketua kampung, beliau berkata, ia bagi memastikan mereka yang dilantik dapat memikul amanah dan tanggungjawab sebaik mungkin demi kepentingan rakyat.

“Pegawai-pegawai daerah telah dimaklumkan supaya mereka memantau dan memastikan tanggungjawab dan tugas-tugas yang diberikan kepada ketua-ketua kampung ini akan dapat dijalankan dengan sebaik sebaiknya.

“Jadi saya rasa ia tidak menjadi isu dalam pelantikan ketua-ketua kampung ini,” katanya.

Yang turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, YB Dato’ Haji Azmi Rohani;  Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Negeri Johor, YB Tuan Haji Mazlan Bujang; Pengarah Jabatan Penyiaran Johor, En. Ramlee Johari dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru, YB Dato’ Haji Adib Azhari Daud. – Makmur Johor

This post was published by makmurjohor.com


Leave a Reply

Your email address will not be published.Required fields are marked *