Pertingkat Peranan Ahli Majlis – MBJ

Dato’ Hasni Mohammad bergambar bersama tetamu kehormat pada Majlis Program Executive Talk Perundangan Perancangan (Akta Perancangan Bandar Dan Desa 1976, [Akta 172]) Bersama Ahli Majlis PBT Peringkat Negeri Johor di Fraser Place, di sini hari ini. Turut hadir pada majlis itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Azmi Rohani; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tuan Haji Ayub Jamil; Ketua Pengarah PLANMalaysia, Tpr Gs Dr Shamsaini Shamsuddin dan Pengarah PLANMalaysia Johor, Tpr Saidin Lateh. – Foto Muhammad Razif Razali/ MEDKOM
KOTA ISKANDAR, 30 Mac: Menteri Besar, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad menyarankan supaya peranan dan tanggungjawab sebenar Ahli Majlis dipertingkatkan bagi memandu pembangunan Johor yang lebih mampan.

Beliau berkata, penglibatan Ahli Majlis dalam membuat keputusan berkaitan perancangan dan dasar-dasar pihak berkuasa tempatan (PBT) amat diperlukan dan besar peranannya.

Menurutnya, Ahli Majlis yang dilantik di setiap PBT perlu mempunyai asas perundangan yang jelas dalam memastikan setiap perancangan dan dasar berada pada landasan yang betul.

“Oleh itu, setiap Ahli Majlis perlu menyiapkan diri dengan pengetahuan dan kefahaman berkaitan tugasan daripada aspek perundangan supaya keputusan yang dibuat mempunyai asas yang kuat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Program Executive Talk Perundangan Perancangan (Akta Perancangan Bandar Dan Desa 1976, [Akta 172]) Bersama Ahli Majlis PBT Peringkat Negeri Johor di Fraser Place, di sini hari ini.

Hasni Mohammad berucap ketika Merasmikan Program Executive Talk Perundangan Perancangan (Akta Perancangan Bandar Dan Desa 1976, [Akta 172]) Bersama Ahli Majlis PBT Peringkat Negeri Johor di Fraser Place, di sini hari ini. – Foto Muhammad Razif Razali/ MEDKOM

Hasni Mohammad bertanyakan soalan kepada Pengarah Bahagian Perundangan Dan Kawal Selia Perancangan, Plan Malaysia, Sanisah Shafie, ketika sesi soal jawab pada Majlis Program Executive Talk Perundangan Perancangan (Akta Perancangan Bandar Dan Desa 1976, [Akta 172]) Bersama Ahli Majlis PBT Peringkat Negeri Johor di Fraser Place, di sini hari ini. – Foto Muhammad Razif Razali/ MEDKOM

Hasni Mohammad bergambar bersama tetamu kehormat dan juga peserta yang menyertai program ini secara maya selepas menyempurnakan Majlis Program Executive Talk Perundangan Perancangan (Akta Perancangan Bandar Dan Desa 1976, [Akta 172]) Bersama Ahli Majlis PBT Peringkat Negeri Johor di Fraser Place, di sini hari ini. – Foto Muhammad Razif Razali/ MEDKOM
YAB Menteri Besar berkata, antara aspek yang perlu dipertingkatkan adalah Ahli Majlis merupakan sebahagian daripada sistem pentadbiran di peringkat tempatan dan mereka tidak boleh bercanggah dengan dasar yang diputuskan oleh PBT untuk kepentingan awam.

“Ahli Majlis juga adalah sebahagian daripada Pihak Berkuasa Perancang Tempatan seperti yang dinyatakan di bawah Akta 172 dan Akta 133 mengenai soal-soal pembangunan fizikal seperti jalan, parit serta pembinaan bangunan.

“Ahli Majlis adalah penasihat kepada PBT mengikut profesion atau kepakaran masing-masing.

“Ketiga, Ahli Majlis adalah wakil yang menjadi penghubung antara masyarakat setempat dengan PBT dalam menyalurkan aduan, pandangan dan maklum balas berkaitan perkhidmatan yang disediakan oleh PBT,” katanya.

Selain itu, Ahli Majlis juga berperanan untuk bersama-sama membantu dalam menyelesaikan masalah setempat dan menentukan perkhidmatan asas yang disediakan adalah baik dan berkualiti.

“Ahli Majlis juga terlibat sebagai penggubal dasar-dasar PBT selari dengan dasar di peringkat Persekutuan dan Negeri yang mampu memenuhi kehendak rakyat.

“Mereka juga adalah sebagai jurucakap bagi PBT untuk memastikan dasar-dasar PBT difahami dan diterima oleh masyarakat setempat.

“Selain itu, Ahli Majlis juga bertanggungjawab sebagai penyemak pelaksanaan dasar PBT, sama ada tindakan yang dilaksanakan mengikut lunas-lunas yang dibenarkan undang-undang,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, YB Dato’ Haji Azmi Rohani; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, YB Tuan Haji Ayub Jamil; Ketua Pengarah PLANMalaysia, Tpr Gs Dr. Shamsaini Shamsuddin dan Pengarah PLANMalaysia Johor, Tpr Saidin Lateh. – Makmur Johor

This post was published by makmurjohor.com


Leave a Reply

Your email address will not be published.Required fields are marked *