Kelancaran Program Vaksinasi Covid-19 Sumbang Usaha Pembukaan Sempadan

Hasni Mohammad ketika berucap semasa menyempurnakan Majlis Penutupan Muzakarah Pelan Pembangunan Mampan Johor 2030 (Hal Ehwal Agama Islam) di Kompleks Islam Johor Bahru, di sini semalam. – Foto Muhammad Razif Razali/ MEDKOM

JOHOR BAHRU, 25 Mac: Kelancaran pelaksanaan program vaksinasi Covid-19 bagi penduduk di negeri ini diyakini dapat menyumbang kepada usaha pembukaan sempadan antara Malaysia dan Singapura.

Sehubungan itu, Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad mengajak orang ramai agar mendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19 dengan beberapa cara terutama menerusi aplikasi Mysejahtera.

Beliau berkata, kadar pendaftaran penerimaan vaksin menerusi aplikasi MySejahtera dalam kalangan rakyat negeri masih rendah, iaitu sebanyak 25 peratus atau kira-kira 700,000 orang hingga hari ini.

”Seperti sedia maklum, Kerajaan Persekutuan telah menyasarkan sebanyak 80 peratus rakyat di negara ini menerima suntikan vaksin sebelum keputusan pembukaan sempadan dipertimbangkan.

”Saya yakin sekiranya kita menerima pendaftaran ramai dalam masa terdekat, ia bakal menyumbang kepada pembukaan sempadan Johor-Singapura dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Muzakarah Pelan Pembangunan Mampan Johor 2030 (Hal Ehwal Agama Islam) di Kompleks Islam Johor Bahru, di sini semalam.

Hasni Mohammad beramah mesra bersama para tetamu yang menghadiri Majlis Penutupan Muzakarah Pelan Pembangunan Mampan Johor 2030 (Hal Ehwal Agama Islam) di Kompleks Islam Johor Bahru, di sini semalam. – Foto Muhammad Razif Razali/ MEDKOM
Hasni Mohammad menerima skrol Pelan Pembangunan Mampan Johor 2030 (Hal Ehwal Agama) yang diserahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Tosrin Jarvanthi ketika menyempurnakan Majlis Penutupan Muzakarah Pelan Pembangunan Mampan Johor 2030 (Hal Ehwal Agama Islam) di Kompleks Islam Johor Bahru, di sini semalam. – Foto Muhammad Razif Razali/ MEDKOM

Pada majlis tersebut, Kadi Besar Negeri Johor, Tuan Haji Halid Sono membentangkan resolusi Pelan Pembangunan Mampan Johor 2030 (Hal Ehwal Agama Islam).

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, YB Tuan Haji Tosrin Jarvanthi dan Mufti Negeri Johor, Sahibus Samahah Dato’ Haji Yahya Ahmad.

Dalam pada itu, YAB Menteri Besar berkata, usaha meningkatkan pendaftaran proses vaksinasi perlu dipertingkatkan di peringkat daerah dengan membuka pusat-pusat pendaftaran.

”Inisiaitif untuk meningkatkan pendaftaran penerima vaksin ini bukan hanya terletak pada bahu jabatan-jabatan tertentu sahaja, malah ia perlu diperkasakan di semua peringkat termasuk melibatkan penghulu dan ketua kampung di negeri ini.

”Saya yakin pembukaan pusat pendaftaran vaksinasi secara manual dapat dilakukan bagi mengatasi kesukaran kawasan-kawasan yang sukar bagi rakyat di negeri ini untuk mendaftar secara dalam talian menerusi aplikasi MySejahtera,” katanya. – Makmur Johor.

This post was published by makmurjohor.com


Leave a Reply

Your email address will not be published.Required fields are marked *