Warga PBT Diminta Untuk Sentiasa Mempunyai Mentaliti Kelas Pertama

Datuk Hasni Mohammad menyempurnakan upacara pemakaian jubah, kalung, & songkok kepada Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Dato’ Haji Mohd Haffiz Bin Haji Ahmad, di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Skudai, di sini, hari ini. – Foto Muhammad Razif Razali/ MEDKOM

ISKANDAR PUTERI, 18 Mac: Semua warga pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini diminta untuk sentiasa mempunyai mentaliti kelas pertama dalam usaha pembentukan imej bandar raya dan bandar yang berdaya saing.

Menteri Besar Johor, YAB Datuk Haji Hasni Mohammad berkata, ciri-ciri mentaliti kelas pertama merangkumi aspek penguasaan ilmu yang tinggi, sikap proaktif, kekayaan moraliti, budaya menyumbang untuk kepentingan bersama dan pembangunan bersifat holistik.

”Sebagai sebuah PBT yang paling hampir dengan denyut nadi rakyat, PBT khususnya Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) pastinya mempunyai tanggungjawab berat yang harus dilaksanakan.

”Ciri-ciri ini perlulah diterjemahkan dengan memberi komitmen dan perkhidmatan terbaik kepada semua peringkat masyarakat,” katanya pada Majlis Pelantikan dan Angkat Sumpah Datuk Bandar Iskandar Puteri ke-3 di Dewan Serbaguna MBIP dekat Skudai di sini, hari ini.

Dato’ Haji Mohd Haffiz Bin Haji Ahmad, mengangkat sumpah sebagai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) yang baharu di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Skudai, di sini, hari ini. – Foto Muhammad Razif Razali/ MEDKOM

Datuk Hasni Mohammad berucap semasa Majlis Pelantikan dan Angkat Sumpah Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) yang baharu di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Skudai, di sini, hari ini. – Foto Muhammad Razif Razali/ MEDKOM

Datuk Hasni Mohammad bergambar bersama Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) yang baharu, Dato’ Haji Mohd Haffiz Bin Haji Ahmad di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Skudai, di sini, hari ini. Hadir sama ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Dato’ Azmi Rohani serta Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Ayub Jamil. – Foto Muhammad Razif Razali/ MEDKOM

Terdahulu, bekas Pegawai Daerah Muar, Yang Berhormat (YB) Dato’ Haji Mohd. Haffiz Ahmad dimasyhurkan sebagai Datuk Bandar MBIP yang ketiga selepas YB Dato’ Haji Adib Azhari Daud dan YB Dato’ Haji Salehuddin Hassan.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, YB Dato’ Haji Azmi Rohani dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, YB Tuan Haji Ayub Jamil.

Pada masa yang sama, YAB Menteri Besar menambah, MBIP perlu bersedia merangka Pelan Digital tersendiri bagi memberikan dimensi perkhidmatan terbaik seiring dengan aspirasi kerajaan kepada masyarakat di kawasan pentadbirannya.

Katanya, aspirasi tersebut selaras dengan tumpuan Kerajaan Negeri Johor yang melihat Agenda Johor Digital sebagai ekonomi masa depan.

”Selain itu, pasca COVID-19 memberi cabaran kepada Datuk Bandar untuk menyuntik kembali pembangunan di kawasan PBT terutamanya melibatkan pelancongan seperti Legoland dan Medini selain mengembalikan potensi pelancongan dan pelaburan di kawasan MBIP selari dengan kewujudan infrastruktur baharu, iaitu Bas Rapid Transit,” katanya. – Makmur Johor

This post was published by makmurjohor.com


Leave a Reply

Your email address will not be published.Required fields are marked *