Kerajaan Johor Teliti Cadangan Naik Taraf Kemudahan Di Jeti Kukup

Menteri Besar Johor, Datuk Haji Hasni Mohammad (tengah) menyerahkan Keputusan Permohonan Pembayaran Lesen Pendudukan Sementara (LPS) kepada Pengerusi Persatuan Penternak-Penternak Ikan Sangkar Kukup, Lim Thiam Hock (kiri), di Restoran High King Seafood, Kukup, di sini, malam tadi. Hadir sama, ialah Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Tanjung Piai, YB Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng.

PONTIAN, 13 Mac: Kerajaan Negeri sedang meneliti cadangan untuk menaik taraf Jeti Terminal Feri Antarabangsa Kukup bagi merancakkan ekonomi masyarakat setempat.

Menteri Besar, YAB Datuk Haji Hasni Mohammad berkata, kerajaan sedang meneliti pelbagai kemudahan lain dalam usaha menjadikan Kukup sebagai mercu tanda pelancongan yang setanding dengan pintu-pintu masuk lain di negeri ini.

Beliau berkata, pelbagai kemudahan lain boleh dimajukan di kawasan itu, antaranya kompleks bebas cukai dan hotel.

“Mungkin kita akan tambah lagi, bukan sekadar kompleks untuk kastam dan imigresen sahaja, sepatutnya ada kemudahan untuk kegunaan yang lain.”Kalau jeti di sebelah Desaru itu dicadangkan untuk dijadikan zon bebas cukai, kenapa tidak di Kukup?

“Kalau di pintu masuk lain itu ada kemudahan penginapan tiga hingga lima bintang, mengapa tidak di Kukup?,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Penyampaian Keputusan Permohonan Pembayaran Lesen Tol bagi Penternak-Penternak Ikan Sangkar di Kukup, di sini malam tadi.

YAB Menteri Besar berkata, semua usaha itu akan dilakukan tanpa mengubah tarikan sedia ada di kawasan itu yang terkenal dengan industri penternakan ikan dalam sangkar.

“Kita akan terus kekalkan aktiviti-aktiviti tradisinya seperti penternakan ikan sangkar kerana itu saya dan rakan-rakan dalam kerajaan hari ini kita bersetuju untuk melanjutkan tempoh pajakan (TOL) kerana adanya nilai-nilai tarikan pelancong untuk menambah ekonomi masyarakat setempat,” katanya.

Yang turut hadir ialah Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi,  YB Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng yang juga Ahli Parlimen Tanjung Piai. – Makmur Johor

This post was published by makmurjohor.com


Leave a Reply

Your email address will not be published.Required fields are marked *