Penerima Akui Bantuan Agenda Johor Berkebajikan Ringankan Beban

Datuk Hasni Mohammad menyampaikan replika cek pemberian bantuan ‘one-off’ RM500 kepada peniaga yang berdaftar dengan PBT Johor, M. Kumaran, 50, di Kota Iskandar, di sini hari ini. Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Dato’ Azmi Rohani serta EXCO Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Ayub Jamil – Foto Muhammad Razif Razali/ MEDKOM

KOTA ISKANDAR, 3 Mac:  Para penerima bantuan tunai di bawah Agenda Johor Berkebajikan yang dibentangkan dalam Belanjawan Johor 2021 mengakui bantuan berkenaan besar ertinya dalam meringankan bebanan mereka, khususnya semasa pandemik COVID-19 ini.

Lebih mengujakan, bantuan tersebut yang merangkumi tiga kategori, iaitu bantuan RM3,000 kepada pembeli Rumah Mampu Biaya Johor (RMBJ), RM500 untuk peniaga dan penjaja yang berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan RM150 kepada mahasiswa anak Johor B40 disampaikan sendiri oleh Menteri Besar Johor, YAB Datuk Haji Hasni Mohammad, hari ini.

Datuk Hasni Mohammad menyampaikan replika cek pemberian one-off baucar RM3000 RMBJ kepada Siti Fatimah Abdul Aziz Munawar, 26, di Kota Iskandar, di sini hari ini – Foto Muhammad Razif Razali/ MEDKOM
Datuk Hasni Mohammad menyampaikan replika cek pemberian RM150 bantuan one-off Mahasiswa Johor B40 kepada Lim Jia Xin, 23, di Kota Iskandar, di sini hari ini – Foto Muhammad Razif Razali/ MEDKOM

Seorang peniaga pasar malam di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Pasir Gudang, M. Kumaran, 50, bersyukur menerima bantuan RM500 bagi menampung kehidupan keluarganya yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

”Peniaga pasar malam seperti saya memang antara golongan yang sangat terjejas apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan. Bantuan ini sedikit sebanyak dapat menampung kehidupan saya dan keluarga.

”Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Johor kerana memberi bantuan ini. Saya juga bersyukur kerana kerajaan telah membenarkan sektor perniagaan kecil seperti pasar malam untuk beroperasi semula mulai 5 Mac ini,” katanya.

Dalam pada itu, seorang mahasiswa Johor yang menuntut di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Lim Jia Xin, 22, mengakui pemberian wang tunai RM150 itu dapat membantunya membeli keperluan pembelajaran, khususnya data internet.

”Seperti ramai yang sedia maklum, kebanyakan pembelajaran kini menggunakan banyak sistem dalam talian. Justeru, dengan adanya bantuan ini saya dapat membeli data internet untuk tujuan pembelajaran secara dalam talian,” katanya.

Seorang pembeli RMBJ, Siti Fatimah Abdul Aziz Munawar, 26, yang menerima baucar RM3,000 juga gembira kerana bantuan itu dapat membantunya membeli barang kelengkapan rumah baharu miliknya.

“Alhamdulillah, rezeki saya untuk memiliki RMBJ yang terletak di Ulu Tiram. Rezeki menjadi berganda apabila menerima pula baucar ini,” katanya. – Makmur Johor

This post was published by makmurjohor.com


Leave a Reply

Your email address will not be published.Required fields are marked *