MB Johor Lancar SECURE@ISKANDARMALAYSIA

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad melakukan gimik pelancaran Majlis Pelancaran Ulangtahun ke-15 Iskandar Malaysia yang berlangsung secara maya di kediaman rasmi Menteri Besar Johor,Saujana, di sini hari ini – Foto Muhammad Razif Razali/ MEDKOM

JOHOR BAHRU, 2 Februari: Iskandar Malaysia hari ini melancarkan Inisiatif Pemulihan Mapan Sosio Ekonomi di Iskandar Malaysia atau SECURE@IskandarMalaysia bagi mengekalkan pemulihan sosio-ekonomi masyarakat dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Iskandar Malaysia.

Menteri Besar Johor, YAB Datuk Haji Hasni Mohammad berkata, inisiatif berkenaan merangkumi beberapa program dalam tiga bidang, iaitu peningkatan kemampuan, melatih semula dan menambah kemahiran, serta dana dan geran.

Beliau berkata, program Iskandar Malaysia ‘YouthToBiz’ atau ‘Y2B’, misalnya adalah konsep pemberian geran padanan 50:50 untuk perniagaan bergerak atau kemudahan berkongsi perniagaan dengan pemberian geran maksimum RM150,000.

“Program IM Makmur pula memberi tumpuan kepada kumpulan minoriti seperti ibu tunggal, anak yatim, nelayan, komuniti orang kurang upaya (OKU), warga emas dan Orang Asli untuk membantu mereka menempuh cabaran pada masa ini dan menjana pendapatan. Ini termasuk sokongan untuk kemahiran dan tuisyen berasaskan pekerjaan dan keusahawanan untuk anak-anak mereka.

“Untuk perniagaan tempatan, Geran Pekerjaan Iskandar Malaysia dapat membantu mereka mengekalkan pekerja semasa dan mengambil pekerja baharu menerusi pemadanan geran gaji sehingga enam bulan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa melancarkan Sambutan Ulang Tahun Ke-15 Iskandar Malaysia secara maya, di sini hari ini.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad menghadiri Majlis Pelancaran Ulangtahun ke-15 Iskandar Malaysia yang berlangsung secara maya di kediaman rasmi Menteri Besar Johor,Saujana, di sini hari ini – Foto Muhammad Razif Razali/ MEDKOM

YAB Menteri Besar berkata, selain itu program Pertanian Bandar turut diberi penekanan dalam inisiatif berkenaan.

Menurutnya, Iskandar Malaysia juga akan menganjurkan Festival Pembelajaran Iskandar.

“Festival maklumat dan pendidikan sepanjang tahun ini bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran masyarakat menerusi pelbagai latihan dalam talian, bengkel, kelas, persidangan dan sebagainya.

“Antara bidang yang terlibat merangkumi e-dagang, bandar pintar, pekerjaan, pelancongan, sumber manusia, kepemimpinan, dan sektor-sektor khusus,” katanya.

Turut serta dalam majlis itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, YB Dato’ Haji Azmi Rohani dan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim. – Makmur Johor

This post was published by makmurjohor.com


Leave a Reply

Your email address will not be published.Required fields are marked *