Johor Mohon RGL Diteruskan

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad ketika mengadakan sidang media secara maya bersama pengamal media di kediaman rasmi Menteri Besar Johor, Saujana, di sini hari ini. – Foto Muhammad Razif Razali/ MEDKOM

JOHOR BAHRU, 31 Januari: Kerajaan Negeri Johor akan mencadangkan kepada Kerajaan Persekutuan supaya membenarkan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) Johor-Singapura dapat diteruskan.

Menteri Besar Johor, YAB Datuk Haji Hasni Mohammad berkata, cadangan tersebut dibuat bagi memastikan pemain industri, khususnya dari Singapura dapat meneruskan pelaburan di negeri ini.

“Kita (Kerajaan Negeri Johor) menghormati keputusan Singapura untuk menggantung skim RGL. Bagaimanapun, kita tidak akan mencadangkan Kerajaan Persekutuan untuk membuat keputusan sama.

“Hal ini bagi membolehkan pelaburan di negeri ini dapat berjalan seperti biasa. Saya juga yakin isu ini dapat diteruskan kerana ia tidak memerlukan sebarang pindaan dan masih menggunakan peraturan sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar secara maya di kediaman rasminya di Saujana, di sini hari ini.

Foto Muhammad Razif Razali/ MEDKOM

Semalam, Kementerian Luar Singapura dalam satu kenyatan memaklumkan, republik itu akan menggantung peraturan RGL dengan tiga negara, iaitu Malaysia, Jerman dan Korea Selatan selama tiga bulan mulai esok.

Kerajaan Singapura akan mengkaji semula peraturan RGL pada penghujung tempoh penggantungan. 

Singapura juga akan terus memantau situasi global dan menyesuaikan langkah-langkah sekatan sempadannya bagi menangani risiko kes import COVID-19 dan penularan jangkitan kepada komuniti. – Makmur Johor

This post was published by makmurjohor.com


Leave a Reply

Your email address will not be published.Required fields are marked *