MB Johor Terima Taklimat Operasi Sanitasi Covid-19 Oleh Bomba Joho

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad mengadakan sidang video secara langsung bersama-sama Pengarah JBPM Johor, Datuk Yahya Madis ketika Operasi Sanitasi Awam COVID-19 dijalankan di JPJ Johor, di sini, hari ini – Foto Muhammad Razif Razali/MEDKOM

Johor Bahru, 24 Januari: Menteri Besar Johor, YAB Datuk Haji Hasni Mohammad mengadakan sidang video secara langsung bersama Pengarah Bomba Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor Datuk Yahya Madis.

Sidang video secara langsung itu diadakan ketika Operasi Sanitasi Awam COVID-19 dijalankan di Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor di Taman Daya di sini, hari ini.

YAB Datuk Haji Hasni yang berada di Pejabat Menteri Besar Johor dekat Kota Iskandar menerima taklimat secara maya daripada Datuk Yahya mengenai perkembangan terkini operasi sanitasi awam yang dijalankan oleh pihak JBPM Johor sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Menerusi sesi sidang video secara langsung yang diadakan lebih 15 minit itu, YAB Menteri Besar turut mencadangkan beberapa perkara bagi memerangi COVID-19 di negeri mengikut bidang kuasa JBPM Johor.

Antara cadangan yang dilontarkan YAB Menteri Besar Johor adalah untuk JBPM Johor mengadakan operasi sanitasi awam secara kerap dan berkala di tempat-tempat tumpuan dan pintu-pintu masuk ke negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad dan Pengarah JBPM Johor, Datuk Yahya Madis bersama dalam sesi sidang video secara maya ketika Operasi Sanitasi Awam COVID-19 dijalankan di JPJ Johor, di sini, hari ini – Foto Muhammad Razif Razali/ MEDKOM

Anggota bomba melakukan Operasi Sanitasi Awam bagi mengekang penularan COVID-19 yang dijalankan di JPJ Johor, di sini, hari ini – Foto Muhammad Razif Razali/ MEDKOM

Pengarah JBPM Johor, Datuk Yahya Madis (tengah) bergambar bersama anggota bomba setelah selesai menjalankan Operasi Sanitasi Awam COVID-19 di JPJ Johor, di sini, hari ini – Foto Muhammad Razif Razali/ MEDKOM

Dalam pada itu, JBPM Johor  bersedia untuk mengadakan operasi sanitasi awam COVID-19 secara berkala di beberapa buah lokasi yang menjadi laluan pintu masuk antarabangsa di negeri ini termasuk di Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin Sultan Iskandar, Kompleks Sultan Abu Bakar dan terminal feri di sekitar negeri.

Datuk Yahya berkata, pihaknya akan mengusulkan  saranan itu sebagai salah usaha pihak JBPM Johor mengekang penularan wabak COVID-19 di negeri ini.

“Pihak bomba bersedia daripada segi kelengkapan dan keanggotaan untuk melakukan sanitasi di kawasan tersebut.  Bagaimanapun perbincangan menerusi pihak bertanggungjawab perlu diadakan bagi melicinkan proses sanitasi.

‘’Ia termasuk penyediaan penjadualan proses sanitasi dan sebagainya,’’ katanya ketika ditemui di sini hari ini.

This post was published by makmurjohor.com


Leave a Reply

Your email address will not be published.Required fields are marked *