MB Johor Terima Taklimat Operasi Sanitasi Covid-19 Oleh Bomba Joho

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad beramah mesra dengan salah seorang pelajar tingkatan 6, Tee Lee Xuan yang mengikuti sesi persekolahan 2021 di SMK Aminuddin Baki, Johor Bahru, di sini, hari ini – Foto Muhammad Aidil Hussain/ MEDKOM

JOHOR BAHRU, 20 Januari: “Selamat kembali ke sekolah, jangan lupa patuhi SOP yang telah ditetapkan,”.

Itu ucapan ringkas dan nasihat YAB Menteri Besar Johor, Datuk Haji Hasni Mohammad kepada pelajar-pelajar tingkatan lima, tingkatan enam, pelajar sijil tinggi agama dan penuntut kolej kemahiran serta vokasional di seluruh Johor yang memulakan hari pertama persekolahan bagi sesi 2021, hari ini.

Beliau turut berpuas hati dengan persediaan Jabatan Pendidikan Negeri Johor menguruskan kemasukan pelajar yang memulakan sesi persekolahan 2021 mulai hari ini secara bersemuka mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mencegah penularan wabak COVID-19.

Katanya, semua pihak telah mengambil langkah sewajarnya dalam memastikan pematuhan SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

“Saya dapat melihat bahawa pihak sekolah telah membuat persediaan dan persiapan yang perlu dan keadaan adalah terkawal, manakala pelajar juga pada hari pertama ini saya lihat mereka dapat meneruskan pembelajaran tanpa ada sebarang masalah.

“Dari aspek keadaan kita sewaktu PKP ini juga, saya dapati semua pihak telah mengambil langkah-langkah yang sewajarnya seperti menggunakan pelitup muka dan kemudahan pembersihan juga dipertingkatkan di sekolah-sekolah ini.

“Pada masa yang sama, saya berharap supaya guru-guru dapat memastikan pelajar-pelajar mematuhi sepenuhnya SOP yang telah ditetapkan sewaktu PKP, lebih-lebih lagi di Johor ini yang kita tahu kes-kes positif ini adalah berada dalam keadaan membimbangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa membuat tinjauan hari pertama sesi persekolahan 2021 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Aminuddin Baki, di sini hari ini.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad (tengah) menyampaikan barangan sumbangaan penjagaan kesihatan, iaitu cecair sanitasi dan pelitup muka kepada SMK Aminuddin Baki, Johor Bahru. Turut serta, EXCO Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya, Mazlan Bujang (kiri) dan Pengarah Pendidikan Negeri Johor, Haji Shaharuddin Saari (kanan), di sini, hari ini – Foto Muhammad Aidil Hussain/ MEDKOM
Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad (dua dari kiri) semasa melawat sesi pembelajaran tingkatan 5 sambil diiringi oleh Pengarah Pendidikan Negeri Johor, Shaharuddin Saari (tiga dari kiri) di SMK Aminuddin Baki, Johor Bahru, di sini, hari ini – Foto Muhammad Aidil Hussain/ MEDKOM
Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad mendengar penerangan mengenai pembukaan sesi persekolahan murid tingkatan 5 oleh Pengarah Pendidikan Negeri Johor, Shaharuddin Saari di SMK Aminuddin Baki, Johor Bahru, di sini, hari ini – Foto Muhammad Aidil Hussain/ MEDKOM
Sebahagian pelajar tingkatan 5 SMK Aminuddin Baki yang hadir ke sekolah bagi memulakan sesi persekolahan 2021, di sini, hari ini – Foto Muhammad Aidil Hussain/ MEDKOM

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Negeri Johor, YB Tuan Haji Mazlan Bujang dan Pengarah Pendidikan Negeri Johor, Haji Shaharuddin Saari.

Pada sesi pembukaan sekolah tahun ini, seramai 47,203 pelajar melaporkan diri secara pembelajaran bersemuka di 345 sekolah di negeri ini.

Jumlah itu membabitkan pelajar tingkatan lima dan enam, iaitu calon yang bakal menduduki peperiksaan utama, termasuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Dalam satu kenyataan media, KPM memaklumkan sesi persekolahan secara bersemuka bermula hari ini hanya melibatkan pelajar yang akan menduduki peperiksaan SPM, Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), STPM, Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) tahun 2020 serta peperiksaan antarabangsa yang setara. – Makmur Johor

This post was published by makmurjohor.com


Leave a Reply

Your email address will not be published.Required fields are marked *