Kerajaan Johor Akan Jaga Kebajikan Mangsa Banjir Di PPS

Foto Muhammad Razif Razali/ MEDKOM

KOTA TINGGI, 4 Januari: Kerajaan Negeri Johor akan mencari jalan terbaik dalam usaha menjaga kebajikan mangsa banjir yang terjejas di beberapa daerah di negeri ini.

Menteri Besar Johor, YAB Datuk Haji Hasni Mohammad berkata, kerajaan akan cuba sedaya upaya memastikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dilengkapi dengan kemudahan asas yang lengkap.

“Saya berharap, mangsa-mangsa banjir banyakkan bersabar dalam menghadapi dugaan ini. Jangan bimbang, kerajaan akan menjaga kebajikan keluarga-keluarga yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara.

“Pada masa yang sama, saya berharap agar orang ramai memberi kerjasama kepada jabatan yang berkaitan ketika berada di pusat pemindahan sementara,” katanya.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad beramah mesra dengan kanak-kanak di PPS di SMK Taman Kota Jaya, Kota Tinggi Johor – Foto Muhammad Razif Razali/ MEDKOM
Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad menyertai aktiviti mewarna bersama kanak-kanak PPS di SJKC Layang, Simpang Renggam – Foto Muhammad Razif Razali/ MEDKOM
Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad diiringi Pegawai Daerah Simpang Renggam, Ismail Abu meninjau mangsa banjir yang terjejas di PPS SJKC, Layang, Simpang Renggam – Foto Muhammad Razif Razali/ MEDKOM

Terdahulu, YAB Menteri Besar mengadakan tinjauan di PPS yang terletak di Kota Tinggi, iaitu PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Kota Jaya, Sekolah Menengah Agama (SMA) Taman Kota Jaya, Sekolah kebangsaan (SK)Taman Kota Jaya dan SK Laksamana.

Turut sama hadir mengiringi beliau ialah Pegawai Daerah Kota Tinggi, Tuan Haji Farizal Ismail.

YAB Menteri Besar kemudiannya mengunjungi PPS Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Layang yang terletak di daerah Simpang Renggam bagi melawat mangsa yang terjejas di kawasan itu.

Banjir yang melanda negeri Johor menjejaskan lapan daerah melibatkan 6, 991 mangsa daripada 1,841 keluarga hingga pukul 12 tengah hari ini. – Makmur Johor.

This post was published by makmurjohor.com


Leave a Reply

Your email address will not be published.Required fields are marked *