Orang Ramai Dinasihat Akur Arahan Berpindah Semasa Banjir

Foto Muhammad Razif Razali/ MEDKOM

JOHOR BAHRU, 2 Januari: Penduduk yang terlibat banjir dinasihatkan supaya akur dengan nasihat pihak berkuasa untuk berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.

Menteri Besar Johor, YAB Datuk Haji Hasni Mohammad berkata, kerajaan sedar ada segelintir daripada penduduk yang enggan berpindah ke PPS kerana bimbang tentang kediaman dan harta benda yang ditinggalkan.

Beliau berkata, dalam keadaan hujan yang berterusan, berkemungkinan keadaan banjir akan menjadi lebih buruk dan boleh mengancam nyawa.

“Saya melihat keadaan cuaca daripada laporan yang saya terima bahawa hujan akan berterusan untuk sehari dua ini.

“Saya menasihatkan kepada keluarga-keluarga yang terlibat itu, utamakan keselamatan keluarga.

“Saya tahu hasrat mereka untuk menjaga rumah dan harta benda, tetapi yang lebih penting adalah keselamatan dan nyawa mereka,” katanya.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad (kanan) melawat mangsa banjir di PPS SK Batu 10 Skudai, di sini, hari ini – FOTO Muhammad Razif Razali/ MEDKOM
Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad melawat mangsa banjir yang ditempatkan di SK Batu 10, di sini, hari ini – Foto Muhammad Razif Razali/ MEDKOM

Hujan lebat di beberapa daerah di negeri ini sejak semalam telah mengakibatkan beberapa kawasan ditenggelami air.

Beliau berkata demikian ketika melawat mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan Batu 10, Skudai, di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut meminta kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) untuk memantau prosedur operasi standard (SOP) di pusat-pusat pemindahan sentiasa dipatuhi. – Makmur Johor

This post was published by makmurjohor.com


Leave a Reply

Your email address will not be published.Required fields are marked *