Tunku Ismail Rasmikan TMIYC Muar

MUAR, 29 Disember: Duli Yang Amat Mulia Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor berkenan merasmikan Majlis Pecah Tanah Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) daerah Muar, di sini hari ini.

Majlis turut dihadiri oleh YAB Menteri Besar Johor, Datuk Haji Hasni Mohammad; Menteri Belia dan Sukan, YB Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican; Setiausaha Kerajaan Negeri, YB Dato’ Haji Azmi Rohani dan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk M. Noor Azman Taib.

Projek TMIYC dengan peruntukan RM25 juta di atas tanah seluas 11 hektar akan dibina dengan pelbagai kemudahan baharu seperti padang bola sepak sintetik berserta lampu limpah, gelanggang sukan ekstrem,  hab e-sports, gelanggang futsal berbumbung dan asrama.

Berucap pada majlis itu, Reezal Merican berkata, TMIYC adalah inisiatif dan visi DYAM Tunku Mahkota Johor dalam usaha memperkasa dan merealisasikan potensi belia di negeri ini supaya dapat melahirkan generasi Bangsa Johor yang berbudi, berpotensi dan berfikiran maju.

Katanya, TMIYC Muar akan menjadi sebuah lagi pusat yang akan memangkin pembangunan potensi belia dan masyarakat sekitar dengan pelbagai kegiatan.

“Inisiatif ini adalah cetusan idea dan buah fikiran Duli Yang Maha Mulia Tuanku Permaisuri Johor dan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor sendiri sejak 2017 yang mahu melihat satu rencana pembangunan yang tersusun lagi dinamik untuk anak muda belia di Johor ini.

“Idea ini kemudiannya dikongsi agar dapat direalisasikan serta dilaksanakan di seluruh negeri Johor.

“Dalam hal ini saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi rasa menjunjung kasih atas perkenan dan ikhtiar Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor sendiri yang memungkinkan lokasi strategik seperti ini dapat dijadikan tapak pembinaan TMIYC ini,” katanya.

Jelas beliau, projek TMIYC Muar akan bermula pada Mei 2021 dan dijangka siap menjelang November 2022.

“Saya berharap, segala kemudahan dan peluang ini dimanfaatkan sepenuhnya dalam usaha kita membina generasi belia yang kental, disulam dengan daya fikir yang tajam, kreatif dan inovatif.

“Paling penting bagi saya, jiwa anak muda yang sentiasa tinggi cita-citanya, namun tetap berpijak di bumi yang nyata,” katanya.- Makmur Johor

This post was published by makmurjohor.com


Leave a Reply

Your email address will not be published.Required fields are marked *