Syarikat Swasta, GLC Digalak Bangunkan Sektor Perumahan, Prasaran

PONTIAN, 24  Disember: Kerajaan Negeri Johor berharap pihak swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bersama-sama menjayakan Belanjawan Johor 2021 dalam pelbagai aspek, terutamanya dalam pembangunan perumahan dan prasarana di negeri ini.

Menteri Besar Johor, YAB Datuk Haji Hasni Mohammad berkata, Belanjawan Johor 2021 menerusi agenda keempatnya, iaitu Prasarana Johor telah menggariskan inisiatif dengan menggalakkan pembinaan Rumah Mampu Biaya Johor (RMBJ) oleh pihak swasta dan GLC.

”Inisiatif ini akan melibatkan beberapa daerah, antaranya Kluang, Tangkak, Johor Bahru, Batu Pahat dan Pontian bagi tempoh lima tahun.  Justeru, usaha ini dilihat dapat menjadi titik temu antara syarikat-syarikat swasta dan GLC seperti TNB untuk melebarkan lagi sayapnya dalam sektor perumahan.

”Kerajaan Negeri Johor akan terus membantu dan sentiasa bekerjasama dengan TNB bagi menjamin kepentingan dan kesejahteraan rakyat,” katanya pada Majlis Penyerahahan Kunci Projek Mesra Rakyat Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Kampung Lama Benut, di sini hari ini.

Penerima Kunci Projek Mesra Rakyat Tahun 2020

Yang turut hadir, Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat TNB, Datuk Omar Sidek dan Pengurus Besar TNB Negeri Johor (Bahagian Strategi dan Kawal Selia), Encik Mohd. Noh Md. Seth.

Pada majlis itu, YAB Menteri Besar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut menyampaikan kunci rumah baharu kepada  Encik Ng Kim Siang yang dibina oleh pihak TNB dengan kos sebanyak RM52,000.

TNB turut memperuntukkan RM49,500 bagi membaik pulih kediaman Encik Krisnan Muthusamy di Jementah, Segamat.

Dalam pada itu, YAB Menteri Besar memberitahu, Kerajaan Negeri Johor juga tidak ketinggalan dalam membangunkan perumahan mampu milik di Taman Perbadanan Islam yang terletak di Taman Megah, Bandar Pontian.

”Projek itu (Taman Perbadanan Islam Taman Megah) akan dibangunkan di atas tanah seluas 30 ekar (12 hektar) dengan jumlah 400 unit rumah  yang dijual pada harga antara RM80,000 hingga 150,000.

”Projek tersebut dijangka akan dimulakan seawal tahun depan dan memgambil tempoh 48 bulan untuk disiapkan. Saya percaya projek ini mampu memberi ruang dan peluang kepada golongan kurang berkemampuan untuk memliki rumah,” katanya. – Makmur Johor

This post was published by makmurjohor.com


Leave a Reply

Your email address will not be published.Required fields are marked *