Kerani Menang Motosikal Cabutan Bertuah PTG

Foto Muhammad Razif Razali/ MEDKOM

KOTA ISKANDAR, 20 Disember: Seorang kerani tidak menyangka tuah menyebelahinya apabila berjaya membawa pulang sebuah motosikal jenis Modenas pada majlis Penyampaian Hadiah dan Cabutan Bertuah kepada pembayar cukai tanah secara dalam talian, hari ini.

Fang See Ting, 46, mengaku kali pertama beliau memenangi cabutan bertuah yang dianjurkan oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG) selepas lima tahun mula membayar cukai secara dalam talian.

“Selama kira-kira lima tahun saya tidak pernah tinggal untuk melakukan pembayaran cukai tanah secara dalam talian, saya bersyukur memperoleh hadiah motosikal ini.

”Saya akan menyerahkan motosikal ini kepada suami yang bekerja sebagai pemandu pelancong untuk dia berulang-alik ke tempat kerja. Pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada PTG dan amnya Kerajaan Negeri Johor,” katanya.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad bergambar bersama barisan pemenang Cabutan Bertuah Pembayar Cukai Tanah secara dalam talian anjuran PTG – Foto Muhammad Razif Razali/ MEDKOM

Terdahulu, majlis disempurnakan oleh Menteri Besar Johor, YAB Datuk Haji Hasni Mohammad yang turut melakukan cabutan secara dalam talian.

Majlis tersebut turut disiarkan secara langsung laman sosial facebook, PentadbiranTanahJHR

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, YB Datuk Haji Samsolbari Jamali dan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, YB Datuk Mohd. Izhar Ahmad.

Dalam pada itu seorang lagi pemenang cabutan bertuah, Nordziakon Husnan, 34, bersyukur apabila membawa pulang sebuah televisyen LCD.

“Alhamdulillah, televisyen ini merupakan rezeki saya yang akan memasuki rumah baharu dalam masa terdekat,” jelasnya yang bekerja sebagai Penolong Pegawai Teknologi Maklumat di Universiti Teknologi Malaysia  (UTM).

Majlis tersebut turut menyaksikan beberapa lagi pemenang membawa pulang hadiah cabutan bertuah seperti televisyen dan telefon pintar. – Makmur Johor

This post was published by makmurjohor.com


Leave a Reply

Your email address will not be published.Required fields are marked *