IKLAS Dijenamakan Semula, Mantan MB Disediakan Pegawai Khas

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad ketika berucap pada Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Ke-14 di Bangunan Sultan Ismail, di sini, hari ini – Foto Muhammad Razif Razali/ MEDKOM

KOTA ISKANDAR, 6 Disember:  Menteri Besar Johor, YAB Datuk Haji Hasni Mohammad hari ini mengumumkan Institut Integriti Kepimpinan dan Latihan Semangat Dato’ Onn (IKLAS) akan dijenamakan semula.

Menurutnya, IKLAS ditukar nama menjadi Institut Dato’ Onn (IDO) sebagai usaha untuk menjadikan negeri ini terus maju bertunjangkan idea dan pemikiran daripada tokoh-tokoh pemimpin Johor.

Beliau berkata, penjenamaan itu bertujuan untuk memperkasakan dan melaksanakan Program Hikmah Johor, bagi mengiktiraf sumbangan bekas pemimpin dari Johor.

“Oleh yang demikian, Institut Integriti Kepimpinan dan Latihan Semangat Dato’ Onn (IKLAS) akan diberi jenama baharu, iaitu Institut Dato’ Onn (IDO) tidak lama lagi.

“Program ini juga bertujuan untuk menggembleng idea dan pengalaman mantan-mantan Menteri Besar Johor dalam membangunkan negeri Johor Darul Ta’zim.

“Pengalaman mereka sangat berharga untuk dikongsi dan dimanfaatkan bersama Bangsa Johor terutamanya dalam kalangan golongan anak muda,” katanya pada Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Ke-14, di sini hari ini.

YAB Menteri Besar berkata, selain menyediakan platform untuk  berkongsi idea dan pengalaman menerusi program yang akan dirancang, semua mantan Menteri Besar Johor akan disediakan Pegawai Khas bagi membantu dan memudah cara dalam pelbagai perkara yang berkaitan. – Makmur Johor

This post was published by makmurjohor.com


Leave a Reply

Your email address will not be published.Required fields are marked *