Kerajaan Johor Sambut Baik Karnival Kerjaya Dalam Talian

Foto Muhammad Razif Razali/ MEDKOM

JOHOR BAHRU, 14 Disember: Kerajaan Negeri menyambut baik penganjuran Karnival Penjana Kerjaya Secara Dalam Talian Negeri Johor bagi membantu golongan yang diberhentikan kerja di Singapura kembali mendapat pekerjaan.

Menteri Besar Johor, YAB Datuk Haji Hasni Mohammad berkata, dalam keadaan dunia dan negara berdepan dengan pandemik COVID-19, ramai yang terkesan termasuk kehilangan pekerjaan.

“Tahniah kepada Pengerusi MIC negeri dan kepada pihak Perkeso Negeri Johor atas usaha yang begitu baik dan bermakna dalam keadaan dan suasana kita membantu mereka yang terkesan dalam menghadapi pandemik COVID-19.

“Kerajaan Negeri amat menghargai usaha yang dilakukan pada hari ini dan kalau boleh, kita kembangkan dan luaskan lagi program seperti ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Karnival Penjana Kerjaya Secara Dalam Talian Negeri Johor anjuran MIC Johor dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Negeri Johor, di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi MIC Negeri Johor, YB Vidyananthan a/l Ramanadhan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor dan Pengarah Perkeso Negeri Johor, Tong Sing Chuang.

Sementara itu, Sing Chuang berkata, karnival dalam talian itu diadakan selama tiga hari bermula hari ini dan disertai 30 syarikat dalam pelbagai sektor.

Sebanyak 1,500 peluang pekerjaan ditawarkan dalam carnival berkenaan.

Orang ramai yang berminat boleh mendaftar dan memohon pekerjaan menerusi  https://bit.ly/PilihanIVJohorDis2020. – Makmur Johor

This post was published by makmurjohor.com


Leave a Reply

Your email address will not be published.Required fields are marked *