Johor Teruskan Usaha Laksana DCA

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad – Foto Muhammad Razif Razali/ MEDKOM

JOHOR BAHRU, 14 Disember: Kerajaan Negeri Johor akan meneruskan usaha dalam merealisasikan pembukaan sempadan, sekali gus membolehkan golongan yang termasuk dalam kategori Pengaturan Perjalanan Harian (DCA) kembali berulang-alik antara Johor dan Singapura.

Menteri Besar Johor, YAB Datuk Haji Hasni Mohammad berkata, perkara itu dibincangkan antara beliau dengan Menteri Luar Singapura, Dr. Vivian Balakrishnan menerusi satu sidang video, Khamis lalu.

“Di peringkat negeri kita telah melantik satu jawatankuasa khas untuk menguruskan kesiapsiagaan kita untuk menjalankan ujian swab ataupun apa juga bentuk ujian.

“Kita (akan) pastikan kita cukup makmal ujian. Kita (akan) pastikan supaya SOP yang akhirnya boleh  dipersetujukan oleh antara dua negara antara Singapura dan Malaysia.

“Kita juga sudah beri jaminan kepada Kerajaan Persekutuan bahawa Kerajaan Negeri dengan makmal-makmal yang diperakui oleh pihak kementerian, berkeupayaan melakukan 30,000 ujian sehari. Saya sudah beritahu Menteri Luar Singapura, Dr. Vivian Balakrishnan, itu adalah kemampuan kita hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Karnival Penjana Kerjaya Secara Dalam Talian Negeri Johor, di sini hari ini.

Program anjuran MIC Negeri Johor dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Negeri Johor itu diadakan bagi membantu golongan yang diberhentikan kerja di Singapura kembali mendapat pekerjaan. -Makmur Johor

This post was published by makmurjohor.com


Leave a Reply

Your email address will not be published.Required fields are marked *