1,435 Nelayan Johor Selatan Terima Bantuan RM1.435 Juta

Foto Muhammad Razif Razali/ MEDKOM

KOTA ISKANDAR, 9 Disember: Seramai 1,435 nelayan di kawasan Johor Selatan yang terkesan akibat pandemik COVID-19 menerima bantuan sebanyak RM1.435 juta daripada Kerajaan Negeri Johor.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Johor Selatan, Azli Mohd. Aziz berkata, bantuan itu amat diperlukan golongan nelayan bagi menampung perbelanjaan harian selain membeli peralatan menangkap ikan.

”Setiap nelayan akan menerima saguhati sebanyak RM1,000. Sumbangan ini memberi makna yang besar kepada kami golongan nelayan dan secara tidak langsung dapat meringankan beban yang ditanggung berikutan kekurangan pendapatan.

”Saya mewakili seluruh nelayan mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Johor di bawah pimpinan Datuk Haji Hasni Mohammad yang prihatin dengan nasib golongan seperti kami,” katanya semasa ditemui selepas Majlis Penyerahan Bantuan Khas Nelayan Johor Selatan 2020 di Bangunan Dato’ Jaafar Mohammad, di sini hari ini.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad (tengah) dan EXCO Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar, Datuk Samsolbari Jamali (dua dari kiri) beramah mesra bersama wakil Persatuan Nelayan Kawasan Johor Selatan pada Majlis Penyerahan Bantuan Khas Nelayan Johor Selatan 2020 di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, di sini, hari ini – Foto Muhammad Razif Razali/MEDKOM
Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad (dua dari kiri), Setiausaha Kerajaan Johor, Dato’ Azmi Rohani (kiri hadapan) dan EXCO Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar, Datuk Samsolbari Jamali (kanan hadapan) bergambar bersama wakil Persatuan Nelayan Kawasan Johor Selatan, di sini, hari ini – Foto Muhammad Razif Razali/ MEDKOM

Replika cek bantuan berkenaan disampaikan oleh Menteri Besar Johor, YAB Datuk Haji Hasni Mohammad kepada Azli.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, YB Datuk Haji Samsolbari Jamali dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, YB Dato’ Haji Azmi Rohani.

Azli berkata, tahun ini merupakan yang keenam berturut-turut pihaknya menerima bantuan daripada Kerajaan Negeri Johor.

”Saya bersyukur kerana Kerajaan Negeri masih memberi perhatian kepada golongan nelayan di kawasan Johor Bahru Selatan yang turut terjejas akibat pembangunan setempat,” katanya. – Makmur Johor

This post was published by makmurjohor.com


Leave a Reply

Your email address will not be published.Required fields are marked *