DRZ Mampu Tarik Pelaburan RM315 Juta, Sedia 1,000 Pekerjaan

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad – Foto Muhammad Razif Razali/ MEDKOM

KOTA ISKANDAR, 8 Disember: Bandar Medini yang diisytiharkan sebagai Zon Dron dan Robotik (DRZ Iskandar) dijangka bakal menawarkan 1,000 peluang pekerjaan dengan jumlah pelaburan sebanyak RM315 juta menjelang 2025.

Menteri Besar Johor, YAB Datuk Haji Hasni Mohammad berkata, sasaran itu mampu dicapai menerusi kerjasama antara peneraju seperti Iskandar Investment Berhad (IIB), Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) dan syarikat kaurier antarabangsa, DHL Express (DHL).

”Kerjasama strategik ini mampu merealisasikan hasrat kerajaan untuk mewujudkan persekitaran ekonomi digital selain memberi rakyat peluang menjadi sebahagian daripada evolusi ekonomi digital.

”Ekosistem digital ini juga penting sebagai satu daya pemacu bagi ekonomi digital, sekali gus membawa negeri ini ke satu tahap yang lebih tinggi, khususnya di Asia Tenggara,” katanya pada Majlis Pelancaran DRZ Iskandar secara maya, di sini hari ini.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad (tengah) bersama barisan wakil Kerajaan Negeri Johor menghadiri Majlis Pengisytiharan Bandar Medini sebagai Zon DRZ Iskandar secara maya di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, di sini, hari ini – Foto Muhammad Razif Razali/ MEDKOM
Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad (kiri) dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin (kanan) – Foto Muhammad Razif Razali/ MEDKOM

Majlis pelancaran tersebut disempurnakan secara bersama dengan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Tuan Haji Khairy Jamaluddin Abu Bakar secara maya dari ibu negara.

Turut sama hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, YB Dato’ Haji Azmi Rohani dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Iskandar Investment Berhad (IIB), Datuk Ir. Khairil Anwar Ahmad.

YAB Menteri Besar berkata, menerusi pengiktirafan terhadap Medini dan Educity sebagai Hab Digital Johor,  Kerajaan Negeri akan memberikan Kerjasama terbaik untuk menarik pemain industri dron dan robotik melabur di DRZ Iskandar.

”Saya yakin Medini sebagai sebuah bandar dengan nilai pelaburan sebanyak RM1.4 bilion dilengkapi insfrastrutkur moden dan utiliti seperti kabel fiber optik, hubungan jalan raya, lampu isyarat pintar dan hubungan bandwith yang tinggi mampu menarik perhatian pelabur.

“Dengan kelengkapan ini, saya juga merasakan sekarang merupakan waktu yang sesuai bagi pihak kerajaan dan swasta berganding bahu memajukan pembangunan ekonomi Johor,” katanya. – Makmur Johor

This post was published by makmurjohor.com


Leave a Reply

Your email address will not be published.Required fields are marked *