PM Rasmi Pelan Pembangunan Mampan Johor 2030

Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin (dua dari kanan) melancarkan Pelan Pembangunan Mampan Johor (PPMJ) 2030 yang merupakan dokumen rujukan induk bagi tujuan perancangan dan pembangunan negeri ini untuk tempoh 10 tahun akan datang. Turut serta Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Azmi Rohani – Foto Muhammad Aidil Hussain/ MEDKOM

KOTA ISKANDAR, 6 Disember: Perdana Menteri Malaysia, YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Mohd. Yassin hari ini merasmikan Pelan Pembangunan Mampan Johor (PPMJ) 2030 yang merupakan pelan komprehensif dan mengandungi pelbagai inisiatif serta strategi bagi menjayakan pertumbuhan ekonomi Johor.

Majlis ringkas itu turut dihadiri oleh Menteri Besar Johor, YAB Datuk Haji Hasni Mohammad dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, YB Dato’ Haji Azmi Rohani.

PPMJ 2030 merupakan pelan bagi tempoh 10 tahun yang dipandu serta dipantau  untuk mengutamakan pembangunan ekonomi dan kelestarian alam sekitar demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat.

Pelan tersebut dijangka mampu memacu ekonomi Johor untuk terus mampan dan dinamik serta memberi penekanan terhadap aspek sains, teknologi dan digital merangkumi keseluruhan negeri dan pelbagai lapisan masyarakat.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah) menandatangani buku Pelan Pembangunan Mampan Johor 2030 sebagai gimik pelancaran yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad (kiri) dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Azmi Rohani di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini, hari ini – Foto Muhammad Aidil Hussain/ MEDKOM

Pada masa yang sama, PPMJ 2030 turut meletakkan fokus dalam usaha memperkasakan tadbir urus kerajaan selain memberi penekanan terhadap inisiatif mengekalkan kelestarian alam sekitar, pemerkasaan penyediaan infrastruktur dan beberapa usaha berkaitan.

Kandungan PPMJ 2030 adalah selari dengan pelbagai inisiatif yang digariskan Kerajaan Persekutuan menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) dengan menampilkan tiga objektif utama, iaitu mampan ekonomi, mampan fizikal dan mampan sosial yang keseluruhannya disokong oleh lapan teras utama.

Sinergi yang terjalin antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Johor  bagi menyelesaikan beberapa isu termasuk rantaian ekonomi bernilai rendah, jurang ekonomi antara etnik, kumpulan pendapatan serta wilayah, peningkatan ekuiti asing dan agenda Bumiputera.

Usaha ini juga merangkumi ketersediaan ekonomi dan modal insan dalam menghadapi ledakan teknologi. – Makmur Johor

This post was published by makmurjohor.com


Leave a Reply

Your email address will not be published.Required fields are marked *